web analytics

Transformasi Dalam Perkhidmatan

13 December 2010

KDN Sana Sini

Kita perlu melakukan transformasi dalam memberikan perkhidmatan dan produk terbaik kepada masyarakat. Demikian amanat Dato’ Sri Mahmood bin Adam kepada warga kerja KDN di Kuching dalam Sesi Perjumpaan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Warga Agensi-Agensi di Bawah KDN.

Majlis yang diadakan pada 12 Disember 2010 bertempat di Auditorium Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, Kuching itu bertujuan memberikan ruang kepada warga agensi-agensi di bawah KDN untuk berkongsi masalah atau perkara-perkara yang memerlukan penjelasan secara langsung dengan Dato’ Sri KSU sendiri. Ternyata Dato’ Sri KSU sangat prihatin terhadap warga agensi-agensi di bawah KDN termasuk di Sarawak.

“Semuanya memerlukan perubahan. Apa yang kita janji kita perlu deliver”, ucap Dato’ Sri KSU.

Dato’ Sri KSU juga tidak ketinggalan memperkenalkan konsep penjawatanan baru iaitu ‘Eksekutif Pemasaran’ yang berfungsi memberikan servis terbaik dan bermutu kepada masyarakat. Konsep ini digalakkan kepada jabatan/agensi terutamanya jabatan/agensi yang terlibat dalam memberikan perkhidmatan dan layanan kepada masyarakat.

Turut disentuh oleh Dato’ Sri KSU tentang inisiatif-inisiatif yang diambil oleh Jabatan Pendaftaran Negara dalam melakukan transformasi memberikan penambahbaikan perkhidmatan kepada masyarakat khususnya.

Antara inisiatif yang diambil dalam menangani isu penduduk tanpa dokumen pengenalan diri ialah dengan menubuhkan lima buah Unit Khas Bergerakniaitu di Miri, Sri Aman, Betong, Bintulu dan Kapit. Sepanjang tahun 2010, sebanyak 62 operasi pendaftaran bergerak telah dijalankan di seluruh negeri Sarawak.

Rakyat Sarawak kini boleh mendapatkan gentian Mykad dalam tempoh satu hari mulai Oktober 2010. Pada masa ini, cetakan gantian MyKad dalam tempoh satu hari hanya diadakan di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, Negeri Sarawak.

Dari Oktober hingga November, sebanyak 3,842 keping MyKad telah berjaya dicetak.

–team berita ikdn