web analytics

Bantu penduduk melalui Operasi MyDaftar

26 January 2011

KDN Sana Sini

Demi niat untuk membantu penduduk-penduduk khususnya di kawasan pedalaman Labis, Dato’ Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri tidak keberatan untuk turut serta dalam Operasi MyDaftar lebih kurang 10km jauh ke dalam ladang getah di Ladang Bukit Dato dalam program lawatannya ke Labis sebelum pilihanraya Tenang berlangsung.

Beliau turut sama membantu menerangkan perkhidmatan MyDaftar ini kepada penduduk di kawasan tersebut yang majoritinya berbangsa India.

Operasi MyDaftar adalah salah satu kaedah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turun padang untuk membantu penduduk khususnya penduduk luar bandar yang masih kabur atau mempunyai sebarang kesulitan berhubung perkhidmatan yang disediakan oleh JPN.

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah permohonan daftar lewat, masalah dokumen pengenalan diri, sijil kelahiran, dan sebagainya. Selain itu, operasi ini turut menerima aduan dan memberi maklum balas dalam kadar segera.

Terdahulu, Dato’ Lee Chee Leong juga sempat meluangkan masa berkunjung ke Majlis Ucapan Tahniah dan Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di Dewan Serbaguna Bukit Gatom, Labis.

N5 Tenang mempunyai 13 buah daerah mengundi iaitu Kampung Redong,Pekan Ayer Panas,Ladang Labis Utara,Bandar Labis Timor,Bandar Labis Tengah,Labis,Felda Tenang,Sawah Bahru,Tenang Station,Ladang Bukit Dato,Chemplak Barat dan Chemplak.Dari segi demografinya,penduduk kawasan Tenang terdiri daripada peneroka,pekerja ladang,pekebun dan peniaga.Untuk rekod,terdapat tiga buah kawasan tanah rancangan FELDA di Dun Tenang iaitu Chemplak,Chemplak Barat dan Felda Tenang.Kawasan majoriti pengundi Cina pula terletak di kawasan peti undi Bandar Labis Timor,Bandar Labis Tengah dan Labis,di mana rata-rata mereka adalah peniaga dan pekebun. Pengundi India pula kebanyakannya terletak di kawasan ladang seperti Ladang Bukit Dato dan Ladang Labis Utara.

–team berita ikdn