web analytics

Lawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri ke IPD Bintulu

24 January 2011

KDN Sana Sini

Bersempena dengan program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dianjurkan di Bahagian Bintulu, pelbagai program dirangka sepanjang tempoh tersebut bagi memaksimumkan manfaat yang akan diterima oleh warga KDN dan masyarakat Bintulu sendiri.

Program ini dimulakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato Lee Chee Leong sebaik sahaja beliau tiba di bumi Bintulu dengan melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Bahagian Bintulu Dalam lawatan tersebut, Dato Lee diberi taklimat ringkas mengenai Jabatan selain berbincang pelbagai perkara penambahbaikan yang diperlukan oleh kedua-dua pasukan.

“Saya berasa sangat gembira dengan taklimat yang disampaikan oleh kedua-dua pasukan kerana pencapaian pasukan di sini adalah sangat membanggakan meskipun menghadapi kekurangan anggota dan beberapa masalah lain, “ kata Dato Lee dalam ucapannya di pejabat JIM.

Selain kekurangan anggota, antara isu lain yang dibangkitkan oleh kedua-dua pasukan ialah mengenai  keperluan menaiktaraf beberapa buah balai polis dan kuarters IPD Bintulu yang telah uzur.

“Sebagai sebuah kawasan perindustrian minyak dan gas terbesar, Balai Polis Kidurong wajar dinaiktarafkan bangunan dan keanggotaannya bagi memastikan keselamatan kawasan sekitar dapat dikawal dengan lebih berkesan,” kata Pemangku Ketua Polis Bahagian Bintulu, DSP Poniman bin Mardiman dalam taklimat beliau kepada rombongan Kementerian Dalam Negeri.

Dalam pada itu, Dato Lee dan rombongan turut dibawa melawat hasil “Projek Bandar Selamat” iaitu Bilik Gerakan IPD Bintulu yang juga pertama diwujudkan di Sabah dan Sarawak. Bilik Gerakan yang memberi fokus kepada menangani vandalisme dan jenayah jalanan tersebut dibangunkan dengan sebelas buah kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar Bandar Bintulu.

“Kita juga sedang dalam tindakan untuk menambah empat lagi kamera CCTV di sekitar Bandar ini terutama di tempat yang menjadi tumpuan orang ramai,” kata DSP Poniman.

Turut mengiringi Dato Lee dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Khas), Dato Abdul Bakir bin Haji Zin dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, YDH Dato Law Hong Soon.

– team ikdn