Selesai lawatan beliau di IPD Bintulu, YB Timbalan Menteri Dalam Negeri meneruskan lawatan kerja beliau ke Jabatan Imigresen Malaysia Bahagian Bintulu. Pejabat JIM Bintulu yang telah mula beroperasi sejak tahun 1982 ini menjalankan semua jenis urusniaga imigresen.
Dalam taklimat kepada Timbalan Menteri yang disampaikan oleh Ketua Imigresen Bahagian Bintulu, Tuan Kamarol bin Haji Johari; rombongan KDN dimaklumkan mengenai operasi imigresen di Pelabuhan Bintulu yang merupakan pelabuhan kedua terbesar di Malaysia yang hanya dikendalikan oleh lapan orang anggota.
“Bandar Bintulu akan semakin berkembang dengan bermulanya Projek Skor pada Februari 2011. Kawasan perindustrian minyak dan gas juga menyebabkan operasi di pelabuhan yang sangat sibuk. Keanggotaan JIM Bintulu seramai 82 orang sahaja sememangnya tidak mencukupi bagi menampung tugasan di lapangan dan penguatkuasaan,” kata Tuan Kamarol.
Dato Lee dalam pada itu turut mengulas mengenai isu kuarters Imigresen dan ruang pejabat yang sempit dan uzur. Beliau yang mengakui kos sewa rumah yang tinggi di bandar ini, mengingatkan agar pasukan Flying Squad KDN dapat mengambil maklum dan tindakan selanjutnya mengenai isu-isu kebajikan ini.
Dalam sesi lawatan yang sama, Dato Lee turut meluangkan masa melawat ke sekitar pejabat, beramah mesra dengan kakitangan dan orang ramai yang datang berurusan di pejabat tersebut.
– team ikdn.


















24 January 2011
KDN Sana Sini