UCAPAN
Y.B. DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
MENTERI DALAM NEGERI
MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2010
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
28 Februari 2011
1. Terlebih dahulu marilah kita ucapkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul bagi menjayakan majlis Perhimpunan Bulanan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Kementerian Dalam Negeri. Saya gembira kerana dapat melihat penglibatan ramai pihak daripada pelbagai lapisan KDN pada hari ini dan saya berharap semoga semangat seperti ini dapat terus disemarakkan lagi di dalam program-program kementerian yang lain pada masa-masa hadapan.
2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2010 kerana telah berjaya menunjukkan prestasi kerja yang mencapai tahap yang dihasratkan oleh ketua jabatan dan bahagian masing-masing. Semoga semua penerima anugerah ini akan terus komited dan terus meningkatkan prestasi kerja masing-masing demi menaikkan lagi imej dan kredibiliti KDN, menyemarakkan lagi semangat semua warga KDN untuk bekerja dengan lebih gigih dan bersungguh-sungguh lagi bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus yang baik (good governance) berdasarkan semangat gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Didahulukan. Sesungguhnya hasrat mutlak yang ingin dicapai oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak adalah untuk membentuk sebuah kerajaan yang mengutamakan rakyat dan mengutamakan budaya kerja cemerlang bagi membangunkan sebuah negara maju Malaysia yang berpendapatan tinggi.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
3. Kita amat memerlukan ramai warga yang mempunyai budaya kerja cemerlang dan mengutamakan rakyat dalam setiap nafas, minda, sikap, tingkah laku, tutur kata dan bahasa badannya bagi memastikan pelaksanaan transformasi total yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri dapat direalisasikan. Menerusi gagasan 1Malaysia ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan dicetuskan juga, tiga pelan transformasi, iaitu Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Politik (PTP). Dalam setiap pelan transformasi ini, biarpun pemain utamanya mungkin berbeza, tetapi setiap satunya berpusatkan rakyat dan bertunjangkan prestasi, dan ini akan memerlukan gelombang dan penyertaan daripada seluruh warga KDN untuk memastikan kejayaannya. Kita berdepan dengan situasi yang melibatkan jenayah yang mahu meruntuhkan tiang-tiang seri negara dan kita di bawah KDN bertanggungjawab untuk mempertahankan tiang-tiang seri ini.
4. Dalam 20 bulan lalu kita di KDN telah menyahut cabaran untuk menangani segala tugas dan isu-isu semasa yang timbul. Kita telah melakukannya dan mencatat kejayaan dalam pelaksanaan KPI serta NKRA. Namun itu semua tidak cukup untuk menjelaskan kepada orang di luar sana tentang tugas dan tanggungjawab kita. Kita melaksanakan tugas mengikut pendekatan di luar kotak untuk NKRA, GTP dan sebagainya agar transformasi ini dapat dikecapi oleh segenap rakyat. Ini penting kerana ia akan menentukan peruntukan yang akan diberikan kepada KDN. Oleh itu, kita tidak boleh benarkan mana-mana pihak memperlekehkan usaha yang kita mulakan bersama-sama ini. Saya ucapkan juga tahniah kepada Unit Parlimen yang telah berkampung di Langkawi untuk menyediakan jawapan di Parlimen bagi mempertahankan semua yang telah kita laksanakan ini.
5. Mengambil cue Perdana Menteri ini, sudah sewajarnya kita menilai setiap perancangan dan proses kerja kita, sama ada kita benar-benar mendahulukan rakyat, termasuk dalam aspek perancangan projek dan program kita; memudah cara setiap permintaan dan keperluan mereka, terutama dari segi layanan dan proses kerja kita; seterusnya tidak memudarat dan membebankan mereka melalui kenyataan dan cadangan baru kita. Dalam hubungan ini, saya lihat Markas Taktikal Polis (MARTEK) di Kerdau baru 80 peratus siap. Kita tidak mahu pegawai dan anggota kita makan dan minum dalam keadaan yang tidak selesa. Oleh itu, saya minta Timbalan saya Dato’ Lee Chee Leong untuk memastikan jumlah 80 peratus tadi menjadi 100 peratus. Tapi di Merlimau, keadaannya tidak membimbangkan saya. Saya tekankan perkara ini kerana warga KDN kita seperti polis, RELA dan JPAM juga adalah rakyat. Sebab itu, kebajikan mereka penting untuk diambil kira. Saya juga telah berbincang dengan Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Alias Ahmad dan melihat terhadap usaha untuk meningkatkan kualiti perumahan para pegawai dan kakitangan Imigresen.
6. Mengambil cue Perdana Menteri juga, usaha untuk mendahulukan rakyat tidak akan berlaku melainkan dengan budaya kerja cemerlang yang mengutamakan pencapaian. Maka pencapaian NKRA dan KPI penting, kerana ia mengukur pencapaian kita dalam melaksanakan tugas kita di dalam bidang-bidang yang memberi erti dan makna yang besar kepada rakyat. Saya percaya kita boleh lakukan perubahan dan kita mesti konsisten. Sebab itu, saya perlu ulang tujuh hala tuju dan komitmen yang telah saya sebutkan dalam Perutusan Tahun Baru 2010 iaitu:
i. Memantapkan pelaksanaan NKRA Mengurangkan Jenayah
ii. Memberi nilai tambah kepada KPI Kementerian- dalam perkara ini saya tidak minta semua permohonan (kerakyatan) diluluskan tetapi sekurang-kurangnya fail-fail yang sudah berpuluh tahun tersimpan dapat kita proses dan pemohon dapat mengetahui status permohonan.
iii. Meningkatkan kecekapan pengurusan isu warga asing
iv. Menangani ancaman jenayah merentasi sempadan
v. Memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah
vi. Mempertingkatkan keberkesanan pemulihan, dan
vii. Menggerakkan gelombang kesukarelaan
7. Semua perkara baik ini ada kalanya tidak tersiar dalam akhbar, tetapi dalam lanskap yang berubah ini kita perlu memanfaatkan saluran-saluran lain termasuk media baru agar segala usaha kita dapat diketahui oleh rakyat.
8. Semuanya kita lakukan atas kesedaran bahawa semua pelan transformasi ini tidak mungkin tercapai jika kita tidak dapat mewujudkan persekitaran politik dan negara yang stabi, aman, selamat dan harmoni. Tugas kita semakin berat kerana hari ini isu keselamatan sudah menjadi semakin kompleks. Ancaman terhadap negara hari ini bukan lagi melalui serangan tentera musuh secara besar-besaran, tetapi boleh dilakukan oleh sejumlah individu yang mempunyai rangkaian dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara, mempunyai kepakaran menggunakan teknologi dan berkeupayaan mempengaruhi persepsi awam melalui penipuan, fitnah, hasutan dan manipulasi.
9. Pada hari ini, kita akan meraikan warga kita yang turut sama terlibat dalam Operasi Piramid. Kita tengok dalam akhbar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelbagai pihak mengendalikan urusan membawa balik rakyat kita dari Mesir. Tetapi dalam diam, kalau tidak kerana peranan pegawai Imigresen kita pastinya proses itu akan tergendala. Apa yang kerajaan buat tidak ada kaitan dengan politik tetapi ia berkait dengan kepentingan rakyat. Sebab itu kita berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu membawa mereka pulang baru-baru ini. Saya juga ucap tahniah kepada Unit Antarabangsa kerana berjaya menguruskan lawatan kali pertama Menteri Keselamatan Awam China ke negara ini baru-baru ini. Unit Antarabangsa turut terlibat dalam lawatan kerja saya ke Turki. Dalam lawatan ini, kita berusaha untuk melihat kepada hubungan risikan dan telah berbincang tentang isu kesukarelaan dengan mereka. Saya berharap Turki akan manjadi gate way antara pihak Barat dengan Timur kerana kedudukan geografinya. Mereka boleh berfungsi sebagai duta untuk menidakkan tohmahan terhadap kita. Saya telah mengarahkan Tan Sri Ketua Polis Negara ke Turki dan Dato’ Seri KSU untuk mewujudkan Jawatankuasa Operasi dalam hubungan ini.
10. Saya ucap tahniah kepada polis. Saya terharu dengan cara mereka mengendalikan isu HINDRAF. Polis kita juga ada pengalaman. Kalau sekarang HINDRAF mahu tuduh baju mereka dikoyakkan atau tidak mendapat layanan yang sewajarnya daripada pihak polis, ternyata mereka silap. Malah tindakan mereka telah dirakam dan direkodkan. Sebab itu, kita perlu bijaksana dan menggunakan saluran yang ada termasuk Twitter dan Facebook dan semua perlu dilaksanakan secara teliti dan mikro.
11. KDN perlu sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan. Kita perlu sentiasa ingat bahawa tidak seperti bidang lain, Keselamatan Nasional adalah bersifat `zero sum’. Tidak ada senario menang-menang. Jika kita kalah, manusia yang tidak bersalah akan mati atau ditimpa mala petaka dan kecelakaan. Kita tidak boleh kalah. Kita tidak boleh sekali-kali membenarkan kejahatan mengatasi kebaikan, anarki mengatasi keamanan, kemusnahan menggantikan kemakmuran.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian
10. Bagi memastikan pelan transformasi Perdana Menteri, maka tidak dapat tidak setiap warga KDN perlu;
Pertamanya; berusaha untuk memahami, mendalami dan menghayati matlamat, hasrat dan semangat yang dibawa oleh gagasan 1Malaysia, GTP, ETP dan PTP. Kejayaan Gagasan 1Malaysia dan kesemua pelan transformasi ini sangat bergantung kepada kefahaman warga KDN tentang dasar dan strategi pelaksanaannya serta bagaimana ia diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan pada peringkat masing-masing. Kita telah melantik JIM sebagai point agency untuk menyelaraskan urusan di peringkat agensi dan jabatan-jabatan di negeri-negeri. Surat arahan telah saya tandatangan dan perubahan ini akan memastikan kita semua berada dalam kefahaman yang sama dan jelas dalam melaksanakan agenda kerajaan.
Keduanya; bersegera serta mempunyai sikap sense of urgency dalam melaksanakan setiap program dan projek di dalam pelan transformasi ini. Setiap warga KDN wajar menetapkan sasaran pelaksanaan setiap projek dan program di bawah tanggungjawab mereka dan mengukur prestasi pelaksanaannya dari semasa ke semasa.
Ketiganya; mempermudahkan segala urusan. Kita perlu menjadi pemudah cara bagi memastikan sebarang permohonan, rayuan, program, projek atau kerjasama dengan pihak luar dapat diteliti dan dilaksanakan dengan cepat serta tidak melalui red-tape dan karenah birokrasi yang mengecewakan pelanggan atau pihak luar. Jalinan kerjasama dengan pihak berkepentingan di luar KDN, baik dengan kementerian lain, pihak swasta mahupun badan bukan kerajaan perlu dimangkinkan dan dipermudahkan. Manakala penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan kedudukan, tidak boleh diizinkan berlaku sama sekali di mana-mana peringkat di dalam KDN.
Keempatnya; bersikap amanah dan menolak rasuah. Oleh kerana tugas, perkhidmatan, program dan projek KDN amat berkait rapat dengan soal Keselamatan Nasional, keselamatan 27 juta anak-anak dan rakyat negara ini, warga KDN perlu berpegang kepada sistem dan prosedur kerja yang telus, kemas dan cekap serta berpegang kepada nilai integriti yang tinggi. Rasuah hari ini tidak berkisar hanya kepada wang ringgit kerana rasuah dari sudut pandangan KDN berkisar kepada nyawa atau perkara-perkara yang secara langsung menjejaskan kepada keselamatan negara.
Kelima; melaksanakan dengan betul pada kali pertama. Ini merupakan refleksi terhadap ketelitian warga KDN dalam melaksanakan tugas masing-masing. Kesilapan yang banyak dan kerap selalunya menunjukkan sikap tidak teliti dan juga komunikasi yang lemah di antara pemimpin dengan yang dipimpin. Sebab itu, bila kita ingin buat keputusan, kita perlu fikir sebaik-baiknya kerana kita tidak miliki peluang yang kedua. Akhirnya kami tiga orang di depan ini (temasuk YB. Dato’ Wira Abu Seman dan Dato’ Lee Chee Leong) yang akan menjawab segala yang ditimbulkan di Parlimen. Apa yang kita jawab akan masuk dalam handset dan mereka yang tidak bertanggungjawab akan mengeksploitasi jawapan-jawapan yang diberikan tadi untuk kepentingan mereka.
Keenam; bekerja sebagai satu pasukan dan jangan bersendirian. ‘No man is an island’. Tiada mana-mana individu atau mana-mana bahagian dan jabatan yang boleh melakukan semua perkara. Setiap bahagian dan jabatan mempunyai kepakaran yang tersendiri. Kerjasama berpasukan dan semangat 1KDN penting bagi mengoptimumkan sumber tenaga, kepakaran dan kewangan untuk menjayakan pelan transformasi dan tujuh komitmen tahun 2011 KDN. Dalam kementerian ini, hanya ada satu pasukan, iaitu pasukan Kementerian Dalam Negeri dan semua program dan projek yang dirancang adalah program Kementerian Dalam Negeri bukan projek atau program individu atau bahagian. Bagaimana kita nak yakinkan diri masing-masing jika kita masih bekerja dalam silo masing-masing.
Ketujuh; bertanggungjawab penuh terhadap prestasi diri dan pasukan. Sebagai anggota di dalam satu pasukan, warga KDN harus berani bertanggungjawab terhadap peranan yang dimainkan. Jika terdapat sebarang kelemahan diri, sebagai anggota yang bertanggungjawab, warga KDN perlu berani mengakuinya dan tidak bersikap menunding jari. Manakala sebagai satu pasukan pula, kelemahan satu anggota adalah kelemahan bersama. Adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota pasukan untuk saling melengkapi dan bahu membahu bagi memastikan kelemahan tersebut tidak menjejaskan prestasi pasukan.
11. Sekiranya kita mahu memacu keupayaan dan melonjakkan pencapaian kita, we cannot run business as usual, sebalik bersedia untuk mengambil pendekatan yang berbeza bila situasi memerlukannya.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
12. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan terhadap jasa dan khidmat bakti setiap warga kementerian di semua peringkat di dalam menaikkan imej dan nama Kementerian Dalam Negeri. Di atas usaha tuan-tuan dan puan-puan, kita telah berjaya mencapai semua sasaran dalam NKRA dan KPI Kementerian, lebih baik dan lebih cepat dari apa yang ditetapkan kepada kita. Tuan-tuan dan puan-puan juga telah menambah baik dan meningkatkan mutu perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat dan pelanggan KDN, baik yang melibatkan pendaftaran, penapisan filem, pendaftaran persatuan, imigresen, pasukan polis dan KDN. Layanan kaunter, waktu menunggu, program berbentuk engagement dan outreach semakin baik dan meringankan kesulitan rakyat. Pada tahun ini segalanya adalah berkisar kepada delivery atau pelaksanaan.
13. Tahniah kepada KSU dan semua warga KDN kerana KDN telah layak diberi pensijilan Amalan 5S Tanpa Syarat oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Cabaran seterusnya adalah untuk mengekalkan momentum sedia ada dan menambahbaik sistem Amalan 5S (Sisih, Susun, Sapu, Seragam, Sentiasa Amal) yang dijalankan di KDN. Pensijilan ini juga membawa maksud KDN akan menjadi benchmark kepada kementerian, jabatan, agensi atau syarikat luar untuk melihat bagaimana KDN layak diberikan pensijilan berkenaan. Saya berharap semua warga KDN dapat meneruskan amalan 5S ini sepanjang masa kerana cabaran mengekalkan pensijilan semestinya lebih hebat daripada memperolehinya.
14. Pada tahun ini, saya difahamkan bahawa seramai 254 orang pegawai dan kakitangan KDN dari pelbagai peringkat jawatan dan jabatan telah terpilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kerana telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2010.
15. Saya yakin, pegawai dan kakitangan KDN yang berada disini bukan hanya bekerja keras hanya untuk mencapai peluang ini tetapi kerana perasaan sayang dan sikap bertanggung jawab terhadap agama, bangsa dan negara.
Sekian, terima kasih


















28 February 2011
Teks Ucapan MDN & TMDN