“Berlandaskan semangat 1 Malaysia dan 1 KDN, dengan lafaz 1 JPAM saya merasmikan Hari Ulang Tahun Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Peringkat Kebangsaan Ke-59”. Begitulah ungkapan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri sewaktu menyampaikan ucaptama dan amanat sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Pertahanan Awam Malayisa (JPAM) Peringkat Kebangsaan di Auditorium D8, Kompleks D, Putrajaya pada 24 Mac 2011.
Majlis turut dihadiri oleh Dato’ Sri Madmood Bin Adam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah JPAM, Dato’ Hj. Abdul Halim Bin Abdul Hamid serta hampir 1000 anggota JPAM yang segak beruniform.
“Saya amat bangga melangkah masuk ke auditorium ini dan dapat merasakan semangat berpasukan yang cukup luar biasa dengan wajah-wajah anggota beruniform yang cukup mengancam”. Kata-kata yang diucapkan oleh Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein ini, sudah cukup untuk menggambar kemeriahan suasana majlis tersebut.
Di samping itu, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein turut tertarik dengan tema sambutan ulang tahun pada tahun ini iaitu ‘JPAM Penggerak Gelombang Kesukarelaan’. Menurut beliau, slogan tersebut jelas membuktikan bahawa JPAM telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab menarik lebih ramai lagi penglibatan orang awam khasnya golongan muda dan remaja dalam aktiviti kesukarelaan.
Selain itu, beliau mengucapkan tahniah kepada JPAM yang berjaya melaksanakan transformasi dan penjenamaan semula. “Dalam masa dua tahun,semua pihak boleh rasa kehadiran JPAM”, jelas Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau turut menyarankan supaya JPAM memastikan kehadiran dan khidmat jabatan ini benar-benar dirasai oleh rakyat dan mereka dijadikan penggerak paling utama dalam sebarang operasi menyelamat, kecemasan, krisis dan bencana.
Turut memberi ucapan dalam majlis ini ialah Dato’ Hj. Abdul Halim Bin Abdul Hamid, Ketua Pengarah JPAM. Menurut beliau, Usia 59 tahun sudah cukup untuk mematangkan JPAM sekali gus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Antara program-program menarik yang berlangsung sempena Sambutan Hari Ulang Tahun JPAM pada tahun ini adalah persembahan video JPAM, demonstrasi menangani krisis, kawad statik Pasukan Kadet JPAM dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pandamaran Jaya, Kelang, Selangor, persembahan team battle JPAM dan majlis pemotongan pulut kuning sebagai simbolik kepada Sambutan Hari Ulang Tahun JPAM.
Sementara itu, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein turut berkesempatan menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pegawai Kehormat dan Pegawai Bersekutu, Pemakaian Pingat dan Sijil Penghargaan. Majlis diakhiri dengan penyampaian Sijil Pertahanan Awam dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPAM bagi tahun 2010.
Dalam satu sesi sidang media ringkas selepas itu, Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein menekankan aspek penglibatan golongan muda dan remaja dalam gerakan kesukarelaan. Beliau turut memuji keupayaan JPAM meningkatkan penyertaan rakyat sebagai sukarelawan Pertahanan Awam sebanyak 120 peratus.
Melihat kepada senario kini, terlalu banyak isu-isu remeh yang bertujuan untuk memecahbelahkan rakyat telah ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu. Oleh yang demikian, beliau melihat fenomena gelombang kesukarelaan sebagai satu alternatif yang ampuh untuk menyatupadukan masyarakat khasnya golongan muda dan remaja yang merupakan nadi masa depan negara. Beliau turut menyeru agar gerakan kesukarelaan digembelingkan bersama-sama syarikat swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghasilkan impak yang lebih besar.
–team berita ikdn


















29 March 2011
KDN Sana Sini