Kenyataan Media
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
TEMPOH TAMBAHAN UNTUK MENJELASKAN SAMAN TRAFIK
Putrajaya, 2 Mac 2011
Kerajaan telah meneliti laporan daripada pelbagai pihak mengenai kegagalan sebahagian pesalah lalu lintas untuk menjelaskan saman trafik dan saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti yang telah ditetapkan. Jelas, masa yang diberikan selama enam bulan sejak Ogos tahun lalu dan berakhir pada hari Isnin lalu telah tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Malah, ramai yang menunggu hingga ke saat akhir untuk membuat pembayaran dan sikap sedemikian telah menyebabkan sistem maklumat rekod dan pengeluaran resit berkomputer secara dalam talian telah tidak dapat menampung permohonan yang terlalu banyak. Tindakan terlalu ramai yang menunggu hingga ke hari-hari terakhir untuk membuat pembayaran telah menyebabkan kesesakan di kaunter dan sistem tergendala (system down).
Pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah cuba untuk menguruskan proses pembayaran sebaik mungkin sepanjang tempoh tersebut dan saya juga telah meminta agar kaunter dibuka hingga ke lewat malam pada hari terakhir demi memenuhi keperluan pada hari berkenaan. Tindakan segera telah diambil oleh Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof dan para pegawai serta anggota dengan meneruskan tugas demi memenuhi permintaan orang awam namun daripada laporan yang diterima, masih terdapat pesalah trafik yang gagal membuat pembayaran walaupun kaunter dibuka hingga ke lewat malam. Malah, terdapat juga aduan dan pertikaian mengenai kesahihan saman yang dikeluarkan kerana ada antara mereka yang mendakwa tidak menggunakan kenderaan yang direkodkan serta pelbagai alasan lain.
Saya telah membawa perkara berkenaan ke pengetahuan Kabinet pagi ini dan keputusan telah dibuat agar tempoh diskaun 50 peratus untuk membayar saman dilanjutkan 10 hari lagi iaitu sehingga 10 Mac depan, untuk membantu para pesalah trafik menjelaskan kompaun, sekali gus mengelakkan daripada kenderaan masing-masing daripada disenarai hitam. Proses pembayaran dalam tempoh lanjutan ini akan dipantau dengan teliti oleh semua pihak berkenaan. Nasihat saya kepada mereka yang mempunyai pertikaian mengenai kesahihan kesalahan pula, mereka perlu hadir dalam jangka masa yang ditetapkan dan membuat rayuan bersama bukti-bukti kepada pihak berkuasa.
Keputusan melanjutkan tempoh bayaran kompaun ini adalah muktamad dan tidak akan mengubah keputusan asal kerajaan untuk menyenaraihitamkan kenderaan yang gagal menjelaskan kompaun selepas tarikh yang ditetapkan.
Dalam konteks ini, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai kita khususnya PDRM di atas komitmen, kesabaran dan kesungguhan untuk membantu orang awam membuat pembayaran serta memberikan penjelasan yang berkaitan terutama di hari-hari terakhir yang ditetapkan sebelum ini.
=tamat=


















7 March 2011
Kenyataan Media/Akhbar