web analytics

Hari Bertemu Pelanggan KDN dan KDN bersama Rakyat

10 March 2011

KDN Sana Sini

HARI BERTEMU PELANGGAN KEMENTERIAN DALAM NEGERI
DAN KDN BERSAMA RAKYAT DI PADANG BOLA RUMPUN MAKMUR, KAMPUNG KRAU, PAHANG
3 HINGGA 5 MAC 2011

Kementerian Dalam Negeri telah mengadakan program Hari Bertemu Pelanggan dan KDN Bersama Rakyat pada 3 hingga 5 Mac 2011 bertempat di Padang Bola Rumpun Makmur, Kampung Krau, Pahang dari jam 8.00 pagi hingga 9.00 malam.

Program Hari Bertemu Pelanggan KDN adalah aktiviti turun padang Kementerian Dalam Negeri yang bertujuan memberi perkhidmatan secara terus kepada rakyat negeri Melaka khususnya di kawasan Kerdau. Melalui aktiviti ini, orang ramai berpeluang untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan jabatan serta agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri serta mendapatkan penjelasan mengenai apa-apa perkara atau isu berkaitan perkhidmatan yang diberikan oleh kementerian/ jabatan serta agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Hari Bertemu Pelanggan ini juga bertujuan memberikan peluang kepada masyarakat untuk melihat dan mendengar sendiri akan fungsi, peranan serta tugas-tugas sebenar yang dilaksanakan oleh kementerian ini. Disamping itu, orang ramai juga boleh mendapatkan khidmat nasihat atau mengemukakan dan menyalurkan sebarang masalah atau aduan secara terus mengenai isu berkaitan perkhidmatan yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Melalui Hari Bertemu Pelanggan ini, orang ramai boleh mendapat respons dengan serta merta daripada para pegawai yang mewakili jabatan dan juga agensi-agensi KDN yang akan sentiasa bersedia menjawab sebarang pertanyaan dan memberi penjelasan mengenai pelbagai perkara berhubung dalam bidang kuasa masing- masing.

Jabatan dan agensi yang terlibat dalam Hari Bertemu Pelanggan adalah Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Jabatan Imigresen dan Jabatan Penjara. Manakala bahagian KDN yang terlibat sama adalah Bahagian Anti Pemerdagangan Orang, Bahagian Pekerja Asing, Bahagian Kawalan Filem, Bahagian Penerbitan dan Teks Al Quran, Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan, Bahagian NKRA dan RELA.

Pelbagai program dan aktiviti akan dijalankan sepanjang program tersebut antaranya pameran jabatan/agensi, gotong royong bersama penduduk kampung, persembahan dan demonstrasi oleh agensi-agensi di bawah KDN, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan melukis poster untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, senamrobik dan sukaneka, persembahan pancaragam oleh pelajar Sekolah Henry Gurney dan Pasukan RELA serta pendaftaran bagi pengambilan ahli RELA/JPAM.

Sehubungan itu orang ramai terutamanya penduduk di sekitar Kerdau adalah dipelawa dan dijemput hadir bagi menjayakan Hari Bertemu Pelanggan dan KDN Bersama Rakyat.