Satu majlis penyerahan Petisyen Ratifikasi Protokol Berkaitan Perdagangan, Pelacuran dan Pornografi Kanak-Kanak dan Golongan Muda daripada The Body Shop iaitu sebanyak 10,000 tandatangan diserahkan kepada KDN telah berjaya disempurnakan dalam suasana majlis yang meriah.
Penyerahan petisyen tersebut telah disampaikan oleh Dato’ Simon Foong, Ketua Eksekutif The Body Shop Malaysia kepada Dato’ Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri di Bilik Sidang Media, Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya pada 22 Mac 2011.
Selaras dengan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2010-2015) yang direncanakan oleh kerajaan, The Body Shop berharap agar penyerahan petisyen ini dapat meningkatkan lagi perlindungan kanak-kanak di Malaysia dari segala bentuk eksploitasi, sekali gus menamatkan pemerdagangan kanak-kanak untuk tujuan seks.
Turut hadir sama memberikan sokongan terhadap penyerahan petisyen tersebut ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Dato’ Sri Mahmood Bin Adam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, yang juga merupakan Pengerusi Majlis AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (MAPO).
Di samping itu, majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran hampir 100 orang yang berpakaian serba kuning, lengkap dengan sepanduk dan papan tanda sambil menyuarakan sokongan terhadap kempen Hentikan Perdagangan Seks Kanak-kanak dan Golongan Muda anjuran The Body Shop bersama Pertubuhan Menamatkan Pelacuran, Pornografi dan Pengedaran Kanak-Kanak Untuk Tujuan Seks (ECPAT), Tenaganita, Protect and Safe the Children dan Nur Salam.
Selain itu, kempen tersebut juga disokong oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Dalam majlis yang sama, Dato’ Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein turut berkesempatan mengadakan sidang media ringkas berkaitan isu perdagangan, pelacuran dan pornografi yang melibatkan kanak-kanak dan golongan muda.
“Fenomena globalisasi telah menyumbang kepada perubahan landskap dunia dan menyebabkan jenayah seperti pemerdagangan orang berkembang dengan pesat dan pantas Tugas membanteras jenayah kini tidak hanya terletak di bahu kementerian sahaja, sebaliknya semua pihak perlu memainkan peranan dan tanggungjawab serta menjalinkan kerjasama secara berterusan: kata Dato’ Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein.
Beliau juga berharap agar inisiatif yang telah dilaksanakan oleh The Body Shop menjadi inspirasi kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dalam isu ini untuk tampil membantu dan memberi sumbangan.
–team berita ikdn


















29 March 2011
KDN Sana Sini