web analytics

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010.

7 March 2011

KDN Sana Sini

Komitmen Kementerian Dalam Negeri (KDN) di dalam menghargai kesungguhan dan iltizam warganya jelas terserlah apabila menjadi kementerian yang pertama menjayakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 pada 7 Februari 2011. Tambah meriah, majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri KDN, Datuk Wira Abu Seman Bin Yusop dan Dato’ Lee Chee Leong serta Ketua Setiausaha KDN (KSU) Dato’ Sri Mahmood Bin Adam.

Majlis yang berlangsung selama hampir tiga (3) jam, telah menyaksikan seramai 256 Warga KDN daripada setiap Bahagian menerima penghormatan dan pengiktirafan di atas segala usaha yang dicurahkan dalam menggalas tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan jayanya.

Berdasarkan semangat mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian yang ditunjukkan oleh Warga KDN, pelbagai kejayaan telah ditempa. Melalui KDN dan kesungguhan warganya, tumpuan mendahulukan rakyat bukan hanya sekadar retorik tetapi berdasarkan pencapaian. Ianya tidak hanya di atas kertas tetapi turut dirasai oleh rakyat.

Melalui ucapannya, YB. Dato’ Seri Hishammuddin berharap agar penerima anugerah sentiasa meningkatkan komitmen dan dedikasi bagi menyemarakkan semangat warga KDN yang lain dan meneruskan momentum kecemerlangan perkhidmatan yang diberikan selama ini, tanpa mudah merasa selesa dengan pencapaian lalu.

Di sebalik kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh KDN sepanjang tahun 2010, beliau turut menegaskan bahawa landskap dunia telah berubah. Globalisasi yang membawa konsep dunia tanpa sempadan menjadikan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman semakin kompleks. Jenayah rentas sempadan seperti permerdagangan orang dan penyeludupan migran kini merupakan senario baru di dalam konteks jenayah di Malaysia dan ianya terletak di bahu Warga KDN untuk bersama-sama dengan kementerian menanganinya. Situasi ini menuntut setiap warga KDN untuk berfikir secara luar kotak dan mengubah cara bekerja.

Sejajar dengan itu, YB. Dato’ Seri Hishammuddin telah menggariskan tujuh tumpuan utama untuk Warga KDN bagi tahun 2011 iaitu (1) mendalami semangat Gagasan Satu Malaysia, (2) mengamalkan sikap sense of urgency, (3) mempermudahkan segala urusan dan mengelakkan birokrasi, (4) amanah, (5) melaksanakan dengan betul pada kali pertama tanpa perlu melakukan pembetulan, (6) mempraktikkan kerja berpasukan dan (7) bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi diri dan kementerian.

Selain itu, sempena majlis tersebut, YB. Dato’ Seri Hishammuddin turut berpeluang menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang terlibat dalam Misi Piramid. Misi bantuan memindahkan pelajar Malaysia di Kaherah dan Iskandariah ini telah diketuai oleh PPI Puan Saleha, PPI Puan Supiani Sibin, PI Encik Zulkarnaen Bin Hashim dan PI Encik Muhamad Faris bin Ibrahim. Pengalaman bekerja dengan menggunakan sumber yang terhad di dalam suasana yang tidak menentu, benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental pegawai-pegawai tersebut sekali gus melayakkan mereka untuk menerima penghargaan tersebut.

–team berita ikdn