web analytics

Majlis Persaraan YDH CP Datuk Mashuri b. Zainal

22 March 2011

KDN Sana Sini

Berlangsung di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri (KDN), satu majlis ringkas sempena persaraan Pengarah Jabatan Logistik PDRM, YDH CP Datuk Mashuri Bin Zainal telah diadakan pada 16 Mac 2011 dan dihadiri Ketua Setiausaha (KSU) Dato’ Sri Mahmood Bin Adam, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, Dato’ Haji Md. Nor Bin Hashim, Setiausaha Bahagian Perolehan, Dato’ Wan Ali Bin Besar, Setiausaha Bahagian Pembangunan, Dato’ Sulaiman Bin Haji Keling dan Setiausaha Bahagian Sumber Manusia, Encik Razak Bin Drahman.

Majlis didahului dengan bacaan doa dan ucapan aluan daripada Y. Bhg Dato’ Sri KSU serta ucapan daripada Mantan Pengarah Logistik PDRM, Datuk Mashuri Bin Zainal.

Ucapan Y. Bhg Dato’ Sri KSU pada hari itu menyentuh tentang kemajuan yang telah dicapai dalam tempoh dua tahun bersama Datuk Mashuri Bin Zainal dalam Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan PDRM, diantaranya adalah program Public Police Engagement dan One Stop Payment Counter. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa PDRM merupakan sebuah agensi yang sangat penting bagi KDN dan menyifatkan Mantan Pengarah Logistik PDRM dan PDRM sebagai ‘Rakan Titanium’. Diakhir ucapan beliau, Dato’ Sri KSU mengucapkan terima kasih kepada Datuk Mahsuri Bin Zainal di atas jasa yang telah disumbangkan selama ini dan berharap agar beliau terus membantu KDN meskipun telah bersara.

Sementara itu, ucapan Datuk Mashuri Bin Zainal pada hari itu lebih menjurus kepada penghargaan beliau terhadap penganjur majjlis iaitu Urusetia Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan PDRM dan Dato’ Sri KSU. Beliau turut menyatakan kepuasan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan selama ini dan menyarankan agara PDRM terus meningkatkan kerjasama dengan KDN agar sistem penyampaian perkhidmatan PDRM dapat ditambahbaik. Dalam masa yang sama, beliau juga menyatakan kesediaan untuk terus membantu KDN dalam memberikan buah fikiran atau idea untuk kebaikan bersama. Diakhir ucapannya, beliau memohon maaf jika ada kesalahan perbuatan dan tutur kata sepanjang tempoh perkhidmatannya. Beliau juga mendoakan semoga PDRM akan sentiasa maju dan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Seterusnya, majlis diserikan lagi dengan tayangan video profil Datuk Mashuri Bin Zainal yang menyingkap saat-saat indah sewaktu beliau bersama-sama KDN. Majlis Bersara yang penuh bermakna pada hari itu diakhiri dengan penyampaian cenderahati peribadi daripada Dato’ Sri KSU dan cenderahati kenangan daripada Urusetia Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan PDRM kepada Mantan Pengarah Logistik PDRM, Datuk Mashuri Bin Zainal.

–team berita ikdn