web analytics

Majlis Ucapan Tahniah dan Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia

29 March 2011

KDN Sana Sini

“Hari ini kita meraikan pelbagai bangsa yang sudahpun diterima, diakui dan disahkan sebagai ‘warganegara Malaysia’ yang baru. Ini sekaligus membawa makna mereka adalah kalangan rakyat Malaysia yang layak dan wajar diberikan hak sejajar dengan apa yang termaktub dan terpelihara di dalam Perlembagaan Negara”, kata Dato’ Lee Chee Leong Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam ucapannya semasa Majlis Ucapan Tahniah dan Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia yang berlangsung di Auditorium, Kompleks Kerajaan Persekutuan Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Mac 2011 lalu.

Seramai 58 orang daripada 97 orang penerima hadir ke majlis tersebut yang melibatkan penduduk di kawasan Sabah khususnya.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada tuan-tuan, puan-puan dan anak-anak yang berjaya dianugerahkan Taraf Kewarganegaraan Malaysia dan menjadi “keluarga baru” kita pada hari ini. “Keluarga baru” yang kita raikan ini bukanlah bermaksud mereka baru berada bersama kita. Sesetengah daripada mereka sudah berada di Malaysia lebih lama daripada umur saya sendiri. Dan selama itu jugalah mereka berusaha untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia”, tambah Dato’ Lee Chee Leong lagi.

Pada tahun 2010, KDN telah berjaya menyelesaikan kesemua permohonan yang diterima pada tahun 2007, 2008 dan 2009 yang berjumlah 29,677. Manakala bagi permohonan tahun 2010, KDN telah menerima sebanyak 17,324 permohonan dan keputusannya akan dikeluarkan selewat-lewatnya 31 Disember 2011.

–team berita ikdn