web analytics

Sambutan Hari Polis yang ke 204 tahun (1807-2011)

29 March 2011

KDN Sana Sini

‘’Sudah tiba masa pucuk pimpinan PDRM, khususnya pihak pengurusannya mengubah kaedah pengambilan pegawai dan anggota baru sejajar dengan usaha meningkatkan jumlah keanggotaan mereka’’, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein ketika beliau berucap sempena Hari Memperingati Polis ke -204 tahun berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak pada 25 Mac 2011 lalu.

Majlis dimeriahkan lagi dengan upacara Perbarisan Lintas Hormat yang terdiri dari seramai 915 orang pegawai dan anggota PDRM serta 10 Detachment termasuk kawalan kehormat. Perbarisan diketuai oleh DSP Alexandera Dawan Dan Kawalan Kehormatan dari pasukan Simpanan Persekutuan. Di samping itu, turut serta Lintas Hormat Unit Udara PDRM. Persembahan ‘’Gayung Perang’’ oleh 69 Komando yang tidak ketinggalan menyerikan lagi majlis tersebut.

“Kita mahukan seluruh anggota dan pegawai polis agar menghayati sepenuhnya konsep 4P secara berintegriti dan menjayakan Pelan Strategik Lima Tahun PDRM 2011-2015’’ .Itulah kata-kata yang diucapkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang baru lima bulan memegang jawatan nombor satu itu dimana Pelan Strategik Lima Tahun (PSST) bagi tahun 2011 hingga 2015 telah dilancar buat julung kalinya pada Hari Polis ke- 204 tahun tersebut.

Dalam pada itu beliau turut mengumumkan bahawa Global Peace Index telah meletakkan Malaysia ditangga ke-22 daripada 149 negara yang paling selamat di dunia, berbanding dengan kedudukan ke-38 pada tahun 2008 dan ke-26 pada tahun 2009. Di peringkat Asia Pasifik pula negara kita berada di tempat ke 4 di belakang New Zealand, Japan dan Australia. Ini merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan dan kita akan memastikan prestasi ini dapat dipertingkatkan pada masa akan datang” dalam ucapan beliau.

Selain daripada itu, upacara penyampaian anugerah turut disampaikan bagi juara penuh displin dan pegawai penyiasat, penolong pegawai penyiasat, pegawai pendakwa dan detektif cemerlang, kepada pegawai, anggota dan pegawai awam.

Turut sama hadir Tun Mohammed Hanif Bin Omar, Mantan Ketua Polis Negara, YDH DIG Datuk Hussin bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Mahmood Bin Adam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Bin Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri serta Dato’ Lee Chee Leong juga Pengarah-pengarah PDRM dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkfeli Mohd Zin.

–team berita ikdn