web analytics

Lawatan Kerja Timbalan Menteri Dalam Negeri ke Klinik Cure and Care 1Malaysia, Sungai Besi.

22 April 2011

KDN Sana Sini

Pada 18 April 2011, Dato’ Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri telah berkesempatan mengadakan lawatan kerja ke Klinik Cure and Care 1Malaysia yang beroperasi di Batu Tujuh , Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Lawatan kerja ini telah disambut oleh Tuan Haji Lasimon Bin Matokrem, Pengarah Bahagian Pencegahan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Puan Khor Phaik Ee, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Rawatan dan Pemulihan Cawangan Institusi, Puan Hadijah Binti Baba, Pengarah Klinik Cure and Care 1Malaysia Sungai Besi, dan semua kakitangan Klinik Cure and Care 1Malaysia Sungai Besi.

Terlebih dahulu, Tuan Haji Lasimon Bin Matokrem merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Dato’ Lee Chee Leong di atas kesudian mengadakan lawatan kerja ini. Beliau memaklumkan bahawa keunikan Klinik Cure and Care 1Malaysia ini, terletak pada cara kemasukan klien (penagih dadah) yang berdasarkan prinsip sukarela, tiada pra-syarat dan tanpa implikasi undang-undang. Secara tidak langsung, pendekatan ini membuka ruang kepada sesiapa sahaja yang mempunyai masalah ketagihan dadah untuk tampil mendapatkan rawatan pemulihan di Klinik Cure and Care 1Malaysia. Di samping itu, kos rawatan adalah percuma.

Sempena lawatan ini juga, satu taklimat ringkas telah disampaikan oleh Puan Hadijah Binti Baba, Pengarah Klinik Cure and Care 1Malaysia, Sungai Besi berkenaan peranan dan fungsi serta pencapaian klinik tersebut semenjak ianya beroperasi secara rasmi pada 1 Julai 2010. Untuk rekod, sehingga 17 April 2010 sejumlah 1096 individu telah mendapatkan rawatan di Klinik Care and Cure 1Malaysia, Sungai Besi melalui pakej-pakej yang ditawarkan termasuk residen, pesakit luar dan khidmat singkat.

Secara keseluruhannya, Dato’ Lee Chee Leong telah melahirkan rasa kagum terhadap AADK di atas inisiatif pengwujudan dan pencapaian PUSPEN berkonsepkan terbuka iaitu Klinik Cure and Care 1Malaysia.

Namun demikian, beliau turut menyatakan bahawa zaman kian berubah dan secara tidak langsung menjadikan trend penagihan dadah semakin kompleks dan mencabar. Justeru, semua warga AADK perlu sentiasa berusaha dengan lebih gigih dan tidak berputus asa dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

“Isu dadah adalah isu yang kompleks untuk diselesaikan dan saya berharap agar semua warga AADK tidak berputus asa dan terus berusaha dengan lebih gigih dalam menangani gejala penyalahgunaan dadah kerana ianya juga merupakan harapan berjuta-juta rakyat Malaysai”. Jelas beliau.

 

Tambah beliau, objektif utama Program Tranformasi Kerajaan (GTP) ialah memperbaiki sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan agar ianya dapat dirasai oleh rakyat.

Oleh itu, beliau menyeru supaya AADK memastikan perkhidmatan yang diberikan oleh Klinik Cure and Care 1Malaysia sentiasa berada pada tahap yang terbaik, sekali gus berupaya merawat dan memulihkan kliennya serta menyentuh hati mereka.

Selain itu, menerusi sesi lawatan ke persekitaran Klinik Cure and Care 1Malaysia, Dato’ Lee Chee Leong telah berkesempatan untuk melihat sendiri bagaimana proses rawatan dan pemulihan dijalankan dan menemuramah beberapa individu yang tampil mendapatkan rawatan dan pemulihan di klinik tersebut. Di samping itu, beliau turut meluahkan rasa yakin terhadap program-program rawatan dan pemulihan yang dilaksanakan oleh Klinik Cure and Care 1Malaysia dalam usaha merawat dan memulihkan klien-klien mereka

—Team berita ikdn