Kegembiraan jelas terpancar di wajah setiap penerima taraf kewarganegaraan Malaysia yang dijemput hadir ke Dewan Balora Perdana Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya bagi Majlis Penyerahan Surat Ucapan Tahniah dan Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia pada 5 April 2011.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Dato’ Bakir Bin Haji Zin, Timbalan Ketua Setiausaha (Khas) dan merangkumi penganugerahan taraf kewarganegaraan bagi dua jenis permohonan iaitu permohonan taraf kewarganegaraan malaysia di bawah perkara Perkara 15(A) dan permohonan taraf kewarganegaraan malaysia di bawah Perkara 19(1). Bagi permohonan taraf kewarganegaraan malaysia di bawah perkara 15(A), penganugerahan taraf kewarganegaraan diberikan kepada kanak-kanak berumur di bawah dua puluh satu (21) tahun dan permohonan dalam keadaan khas yang difikirkan patut oleh Kerajaan Persekutuan. Sementara itu, bagi permohonan taraf kewarganegaraan malaysia di bawah Perkara 19(1) pula, penganugerahan taraf kewarganegaraan diberikan kepada orang yang berumur dua puluh satu (21) tahun atau lebih, memegang taraf Pemastautin Tetap Malaysia bagi tempoh dua belas (12) tahun, berkelakuan baik dan mempunyai pengetahuan memadai dalam Bahasa Melayu.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Encik Zulkifli Bin Rahmat, Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Jabatan Pendaftaran Negara dan Datin Jariah Binti Mohd Said, Setiausaha Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan.

“Seronoknya Malaysia, cantiknya Malaysia’. Begitulah ucapan aluan Timbalan Ketua Setiausaha (Khas), Dato’ Bakir Bin Haji Zin kepada semua penerima taraf kewarganegaraan yang hadir pada hari tersebut.
Di samping itu, beliau berharap agar semua penerima anugerah tersebut dapat menikmati dan menghargai anugerah yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia.

“Semoga kita bersama-sama merasai nikmat menjadi Warganegara Malaysia, menerima hak sebagai rakyat Malaysia dan menghargai anugerah yang tidak ternilai ini”. Ujar beliau.
“Kita tidak seharusnya bertanya tentang apa yang kerajaan atau negara boleh berikan kepada kita sahaja, tetapi kita juga perlu bertanya tentang apa sumbangan yang boleh kita berikan kepada negara”. Tambah beliau.

Selain itu, beliau turut menekankan lima tugas dan peranan utama sebagai Warganegara Malaysia yang perlu dijiwai oleh setiap penerima anugerah kewarganegaraan iaitu (1) berpegang kepada prinsip kesetiaaan, (2) menyokong kerajaan untuk mewujudkan perpaduan dan keamanan, (3) menjaga dan menyanjungi imej negara, (4) mempunyai jiwa dan semangat yang jitu untuk memberi sumbangan kepada negara mengikut kemampuan masing-masing, dan (5) sentiasa berkelakuan baik serta mematuhi undang-undang negara.

Majlis diakhiri dengan ucapan penghargaan dan terima kasih oleh wakil penerima taraf kewarganegaraan kepada Kerajaan Malaysia dan bacaan lafaz ikrar Rukun Negara oleh semua penerima taraf kewarganegaraan.
::: untuk lebih banyak foto layari https://www.facebook.com/kementeriandalamnegeri
–team berita ikdn


















7 April 2011
KDN Sana Sini