‘’Jasamu dikenang, Budimu tak terbilang, Semangatmu dijulang, Kepimpinanmu gemilang’’. Begitulah yang boleh kita perkatakan atas segala bakti dan kepimpinan yang disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato’ Bakir Bin Haji Zin sepanjang perkhidmatan beliau dalam Kementerian Dalam Negeri yang berakhir sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Khas).

Tiap pertemuan pasti ada perpisahan. Itu adat, itu lumrah kehidupan. Begitulah rentetan perjalanan, walau sukar untuk ditelan. Tapi kaki tetap mengorak jalan. Selagi hayat dikandung badan. Satu Majlis Persaraan yang sederhana dan ringkas tetapi disambut dengan meriah sekali telah diadakan pada 6 April 2011 bertempat di ruang legar di Aras 8, Blok D2.

Majlis didahului dengan bacaan doa dan ucapan aluan daripada Y.Bhg. Dato’ Bakir Bin Haji Zin serta ucapan penghargaan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Mahmood bin Adam. Diakhir ucapan beliau, Dato’ Sri KSU mengucapkan terima kasih kepada Y.Bhg. Dato’ Bakir Bin Haji Zin di atas jasa yang telah disumbangkan selama ini .

Majlis diteruskan dengan upacara penyampaian cenderamata sebagai kenang-kenangan khusus untuk Y.Bhg. Dato’ Bakir Bin Haji Zin . Majlis turut merakamkan sejutaan penghargaan dan terima kasih atas tanda ingatan, sumbangan dan tanda hati yang diberikan dan semoga menjadi memoir indah dalam dakapan Y.Bhg. Dato’ Bakir Bin Haji Zin.

Selain itu, upacara memotong pulut kuning oleh beliau bersama isteri tercinta sambil diperhatikan oleh semua warga KDN yang menghadiri majlis tersebut sebagai simbolik Hari Lahir beliau pada 7 April 2011. Majlis diserikan lagi dengan persembahan tayangan video mengisahkan tentang biografi dan memori Y.Bhg. Dato’ Bakir Bin Haji Zin .
Majlis diakhiri dengan majlis ‘clock out’ terakhir buat Y.Bhg. Dato’ Bakir Bin Haji Zin selepas jamuan makan petang bersama semua warga KDN.

Turut dihadiri oleh Y.Bhg Dato’ Lee Chee Leong selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri diikuti oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Mahmood bin Adam, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan iaitu Dato’ Md Nor bin Hashim, Setiausaha Bahagian-bahagian serta warga KDN.
–Teamberitakdn


















12 April 2011
KDN Sana Sini