Tidak dinafikan bahawa bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun sekali gus melenyapkan ribuan nyawa, kemusnahan harta benda yang tidak ternilai dan kebocoran loji nuklear di Jepun.

Perkara telah menarik perhatian pelbagai pihak di Malaysia untuk tampil menyalurkan sumbangan.Terbaru, Persatuan Pengakap Kelana Ibu Pejabat Perak (Kampar) telah mengadakan kempen kutipan derma sumbangan bencana gempa bumi dan Tsunami Jepun di sekitar kawasan Kampar, Perak untuk membantu mendapatkan bantuan kewangan kepada magsa-mangsa Jepun.

Kempen Derma ini telah ditaja oleh Majlis Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak yang dipimpin oleh Major Cho Lip Sang ini telah berjaya mengumpul derma sebanyak RM 10,000.00 daripada penduduk-penduduk sekitar Parlimen Kampar dalam masa hanya satu bulan.

Hasil Kutipan derma tersebut telah diserahkan kepada Koichi Ito, Timbalan Duta Besar Jepun ke Malaysia oleh Major Cho Lip Sang, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak, Bahagian Tugas-Tugas Khas dan turut disaksikan oleh Dato’ Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga merupakan Penasihat Persekutuan Pengakap Kelana Ibu Pejabat Daerah Negeri Perak (Kampar) di Lobi Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 20 April 2011 lalu.

Dalam sidang media ringkas, Dato’ Lee Chee Leong telah memuji kewibawaan Persatuan Pengakap Kelana Ibu Pejabat Perak (Kampar) yang berjaya mengumpul jumlah kutipan derma yang banyak dalam jangkamasa yang singkat.

“Saya memuji kempen derma amal yang dijalankan oleh Persatuan Pengakap Kelana Ibu Pejabat Perak (Kampar) dan ini membuktikan bahawa rakyat malaysia amat perihatin dan secara tidak langsung menunjukkan rasa kasih sayang sesama manusia yang melangkaui sempadan antarangsa”, kata Dato’ Lee Chee Leong.

Sementara itu, Koichi Ito amat menghargai sumbangan serta keprihatinan rakyat Malaysia kepada mangsa tsunami berkenaan.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas segala kerjasama dan pertolongan yang diberikan dan saya percaya dengan keprihatinan dan sumbangan yang diberikan ini dapat mengurangkan beban penderitaan dan kepayahan yang dialami oleh mangsa tsunami di Jepun”, ambah Koichi Ito kepada pemberita.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Tuan Haji Nasarudin Bin Shamsudin, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Encik Fadil Bin Osman, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak (Latihan), Francis Alberto Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak (Antarabangsa) dan krew-krew Persatuan Pengakap Kelana Ibu Pejabat Perak (Kampar) yang telah bertungkus lumus menjayakan kempen derma amal ini.

–team berita ikdn


















25 April 2011
KDN Sana Sini