web analytics

PERASMIAN PUSAT PEMULIHAN PEMASYARAKATAN KEM SULTAN ABDUL HALIM, JITRA, KEDAH

25 May 2011

KDN Sana Sini

Selaras dengan usaha mencapai tujuh komitmen utama Kementerian Dalam Negeri yang diumumkan oleh YB Menteri Dalam Negeri seawal Januari lalu, Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Penjara telah menyahut seruan tersebut dengan menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pertahanan bagi merealisasi komitmen keenam iaitu mempertingkatkan keberkesanan program pemulihan.

Kerjasama strategik ini diterjemahkan dalam majlis perasmian Pusat Pemulihan Kemasyarakatan di Kem Sultan Abdul Halim pada 22 Mei 2011 lalu yang telah disempurnakan oleh wakil kedua-dua kementerian.

YBhg. Dato’ Sri Dr. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan serta Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), YBhg. Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Wira Zulkifli Omar dalam sidang media selepas majlis masing-masing menegaskan bahawa kerjasama strategik kerajaan melibatkan dua kementerian ini adalah salah satu usaha dalam pelan transformasi kerajaan.

“Banduan yang mengikuti program ini akan melakukan kerja penyelenggaraan seperti membersihkan kawasan, memotong rumput dan mengecat dalam kawasan kem tentera. Mereka turut akan dibayar gaji untuk kerja ini. Ini secara tidak langsung menjimatkan wang kerajaan bagi tujuan penyelenggaraan kem,” kata Dato’ Sri Ismail.

Dalam majlis yang sama, kesemua tetamu kehormat dan pihak media turut dibawa melawat ke kawasan sekitar Pusat Pemulihan Kemasyarakatan tersebut di samping menyertai sesi perjumpaan banduan bersama keluarga yang dibenarkan sekali dalam setiap minggu.

Dalam pelaksanaan fasa pertama program ini, lima buah kem tentera dari seluruh Negara telah dipilih bagi menempatkan banduan yang melakukan kesalahan kecil yang mempunyai baki hukuman kurang dari 24 bulan. Kem tentera yang terlibat ialah Kem Sultan Abdul Halim, Jitra (Kedah); Kem Syed Sirajuddin, Gemas (Negeri Sembilan); Kem Batu 10, 4 Briged Mekanis, Kuantan (Pahang); Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas (Kelantan) dan Kem Mahkota Kluang (Johor).

, , ,