Seminar Pengurusan Keselamatan Kepada Pengarah dan Pengurus Syarikat Kawalan Keselamatan telah diadakan di Mini Theatre Tun Hamdan,Yayasan Sabah pada 22 Mei 2011. Seminar ini adalah anjuran bersama Kementerian Dalam Negeri dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia yang telah dihadiri oleh pengarah dan pengurus syarikat di Sabah iaitu seramai 140 orang peserta daripada 68 syarikat kawalan keselamatan. Objektif seminar ini adalah menjelaskan dasar dan peraturan baru Kementerian serta PPKKM, membincangkan isu dan masalah yang menghalangi kemajuan dan profesionalisme industri kawalan keselamatan dan meningkatkan jalinan kerjasama di antara Kementerian, PPKKM dengan pengarah/pengurus syarikat kawalan keselamatan khususnya di Sabah. Dalam pada masa yang sama, KDN bersama-sama PPKKM telah menganjurkan kursus kemahiran pengawal keselamatan tahap 1 yang melibatkan seramai 110 pengawal keselamatan daripada 23 syarikat di Sabah.
Majlis Perasmian seminar telah disempurnakan oleh Y.Bhg.Dato’ Shaheen Mirza Habib, Presiden PPKKM manakala Majlis Perasmian penutupan dan penyampaian sijil kepada peserta seminar telah disempurnakan Oleh Pn Habsah Binti Md. Sidek, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian KK, Kementerian Dalam Negeri.
Agensi yang terlibat dengan seminar ini adalah seperti KDN, Kementerian Pelajaran Malaysia, KASTAM dan PPKKM.
Secara keseluruhannya, seminar ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta seminar. Mereka berharap seminar seumpama ini dapat diadakan secara berterusan di Sabah khususnya bagi membolehkan mereka mendapat informasi terkini mengenai peraturan semasa daripada agensi-agensi Kerajaan dan PPKKM.




















24 May 2011
KDN Sana Sini