MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN KEMENTERIAN DALAM NEGERI
19 MEI 2011
Assalamualaikum, Selamat Pagi, Salam 1Malaysia,
Terima kasih Saudara/Saudari Pengerusi Majlis,
YM/YBhg. TKSU-TKSU, Setiausaha-setiausaha Bahagian, Ketua-ketua Jabatan serta Warga KDN sekalian.
1. Masih segar di memori kita semua apabila pada tahun 2008, YAB Perdana Menteri telah menyeru kita warga Perkhidmatan Awam untuk bersama-sama beliau mengambil bahagian di dalam proses Transformasi Kerajaan.
2. Tiga tahun kemudian pada hari ini saya fikir adalah wajar kita bersama-sama bertanya kepada diri kita sendiri – apakah yang telah kita capai sebagai Kementerian Dalam Negeri?
3. Saya suka memetik beberapa contoh yang dulu pelik tetapi sekarang benar-benar berlaku di KDN.
4. Kita lihat bagaimana PDRM dan ATM bekerjasama di dalam bidang latihan dan perkhidmatan di mana baru-baru ini 100 rekrut bekas anggota ATM telah tamat latihan asas kepolisan.
5. Pada hujung bulan Julai 2011 pula, satu peristiwa bersejarah bagi Malaysia malah bagi dunia akan berlaku di mana kita bakal menyaksikan rekrut PDRM dan ATM bersama-sama menamatkan latihan di Pusat Latihan Tentera Darat Port Dickson.
6. Kita telah melihat bagaimana Jabatan Penjara bekerjasama dengan ATM di mana lebih 1,000 orang banduan pra-bebas dibenarkan bekerja di dalam kem-kem tentera di Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah dan Pahang.
7. Kita telah melihat PDRM dan ATM bersama-sama mengadakan rondaan mencegah jenayah di beberapa lokasi yang terpilih.
8. Kita telah melihat JIM dan JPN beroperasi di dalam satu ruang pejabat yang sama di Mini KDN Puchong dan Sungai Pelek serta di lain-lain Mini KDN yang bakal beroperasi di Sungai Besar dan Kuala Selangor, Selangor.
9. Menerusi cara baru ini, KDN telah berjaya menawarkan apa yang dihasratkan oleh Kepimpinan Tertinggi Kerajaan iaitu:
a. Penjimatan kos;
b. Perkongsian sumber yang terhad;
c. Pencapaian satu hasil yang berimpak tinggi yang dilihat dan dirasai oleh Rakyat; dan
d. Perubahan mindset.
10. Amalan-amalan ini mungkin dilihat sebagai pelik tetapi inilah hakikat yang kita laksanakan di KDN sekarang dan semuanya diiktiraf oleh Kepimpinan Tertinggi Kerajaan sebagai amalan yang berjaya dan wajar dicontohi oleh Kementerian dan Agensi Kerajaan lain.
11. Kejayaan-kejayaan ini seharusnya dijadikan panduan dan pedoman kepada kita di KDN untuk mencari produk-produk yang memenuhi kriteria-kriteria utama yang ditetapkan oleh Kerajaan iaitu:
a. Mendahulukan kepentingan Rakyat;
b. Memastikan perkhidmatan dan produk Kerajaan relevan;
c. Mengtransformasi sesuatu organisasi; dan
d. Mengubah mindset untuk membuat kerja dengan cara yang baru dan inovatif.
12. Saya tidak pernah mengatakan bahawa satu-satu Bahagian atau Jabatan mempunyai peranan yang lebih penting daripada Bahagian atau Jabatan lain
13. Apa yang saya ingin tekankan di sini bahawa peredaran zaman sekarang memerlukan kita meletakkan kepentingan Kementerian di hadapan kepentingan Bahagian dan Jabatan.
14. Perkembangan global khususnya di negara-negara jiran Malaysia menunjukkan bahawa zaman di mana kerajaan mengambil sebarang keputusan tanpa mengambil kira pendapat atau keperluan atau merujuk kepada Rakyat telah berakhir.
15. Sekarang adalah era di mana kita sentiasa dinilai oleh Rakyat samada dari aspek penyampaian perkhidmatan, mutu produk mahupun integriti dan profesionalisma.
16. Oleh yang demikian, kita perlu sentiasa memikirkan cara-cara baru dan inovatif untuk memastikan Kementerian dan produk-produknya kekal relevan dan diterima oleh Rakyat.
17. Lantas persepsi aku-engkau, sindrom Bangau-oh-Bangau dan pemikiran lama serta membuat kerja syok sendiri perlu ditinggalkan.
18. Kita boleh mulakan usaha ini dengan semudah menambah baik satu prosedur kerja malah kita juga boleh menghentikan satu prosedur kerja yang tidak lagi bermanfaat.
19. Bermula dengan langkah kecil itu, saya yakin kita di sini bersama-sama berada di landasan yang betul untuk menjadikan KDN sebagai di antara Kementerian yang terunggul di Malaysia.
20. Oleh yang demikian, saya ingin berkongsi beberapa nasihat untuk kebaikan diri saya serta barisan kepimpinan KDN: jadilah ketua yang dicontohi dan dihormati oleh warga Kementerian; buatlah keputusan yang memberi manfaat kepada Kementerian dan warganya; berilah peluang kepada warga kerja masing-masing untuk menyumbang idea dan cadangan untuk meningkatkan mutu Bahagian atau Jabatan; berilah mereka peluang untuk berasa bangga terhadap usaha-usaha mereka.
21. Sekian, terima kasih.
Disediakan oleh:
Urusetia
Pejabat KSU
17 Mei 2011


















19 May 2011
Teks Ucapan MDN & TMDN