web analytics

TONGGAK JALAN (BOLLARD) DAN REL PENGHADANG

24 May 2011

KDN Sana Sini

Pemasangan tonggak jalan (bollard) dan rel penghadang (railing) merupakan kaedah yang diguna pakai dalam pelaksanaan Langkah 1 di bawah Program Bandar Selamat (PBS) iaitu Pengasingan Laluan Pejalan Kaki dan Laluan Bermotor. Langkah segera PBS ini diilhamkan sebagai benteng pengguna laluan pejalan kaki bagi menghalang dan seterusnya mencegah kejadian kes ragut dan samun terutamanya di kawasan jalan-jalan utama mereka.

Mengikut amalan, tonggak jalan atau rel penghadang ini diletakkan di antara laluan pejalan kaki dan laluan bermotor atau jalan raya. Sebagai contoh, tonggak jalan kebiasaannya dapat dilihat di bahagian laluan pejalan kaki berdekatan lampu isyarat (bagi memudahkan pergerakan Orang Kelainan Upaya atau OKU untuk melintas jalan) manakala rel penghadang ditempatkan di laluan-laluan tumpuan pejalan kaki atau di hadapan pondok menunggu bas dan teksi.

Pelaksanaan pemasangan tonggak jalan perlulah memenuhi piawaian saiz 0.9m (3’) tinggi dan jarak antara tonggak jalan ialah 0.9m – 1.2m (3’ -4’) bagi tujuan keselamatan pengguna laluan pejalan kaki tersebut.

Rel penghadang pula perlu memenuhi kriteria panjang antara 6m – 9m (20’ – 30’) dan anjakan antara rel penghadang ialah 0.9m (3’). Ketinggian sesuai adalah antara 1m – 1.1m (3’ – 3.6’).

Kedua-dua kaedah ini perlu dipasang mengikut kesesuaian imej setempat sama ada kawasan pusat pentadbiran, komersial, keagamaan dan kebudayaan tempatan. Reka bentuk tajam dan nipis tidak dibenarkan sama sekali bagi mengelakkan kecederaan kepada pengguna.

, , ,