web analytics

Kenyataan Media MDN: Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur

Kenyataan Media
YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri

Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur

Kuala Lumpur, 6 Jun 2011

 

Pada hari ini saya hadir untuk meninjau dan sekaligus merasmikan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi yang telah dibangunkan di atas tapak seluas 3.68 ekar yang mana sebelum ini menempatkan Balai Polis Dang Wangi. Bangunan dengan kemudahan lengkap bernilai RM125 juta ini telah mula beroperasi sepenuhnya pada awal Ogos tahun lepas dan mempunyai kemudahan dewan serbaguna, perumahan dan sebagainya.

Kewujudan sebuah pejabat polis seumpama ini di tengah-tengah pusat bandar raya yang sibuk bukan sahaja secara tidak langsung menjadi landmark atau mercu tanda kecil di ibu negara tetapi kedudukannya di sebuah kawasan yang begitu terkenal menggambarkan betapa pihak berkuasa dan orang ramai perlu bersatu dan saling bekerjasama untuk menangani isu-isu jenayah dan berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam. Apatah lagi dengan kedudukan pejabat ini yang terletak di kawasan perniagaan tumpuan ramai di Kuala Lumpur dan turut dilengkapi dengan sebuah surau yang diluluskan untuk kemudahan mengerjakan solat Jumaat. Ibu Pejabat Polis Dang Wangi ini pastinya mempunyai keistimewaan tersendiri dan mampu membantu untuk membentuk jalinan yang baik dengan orang awam.

Peranan dan pendekatan yang perlu dimainkan oleh pegawai dan anggota Polis pada asasnya semakin meningkat, lebih-lebih lagi dalam menangani suasana semasa negara yang sering dihujani dengan isu-isu yang mencabar. Proses hubungan dengan masyarakat dan pihak yang berkepentingan, termasuk pihak media perlu dipertingkatkan agar setiap mesej dan agenda semasa pihak berkuasa dapat disampaikan dengan baik dan berkesan. Kita perlu faham bahawa persepsi tertentu akan wujud di fikiran rakyat jika kita tidak berupaya untuk menjelaskan sesuatu isu atau perkara itu dengan baik, walaupun Polis mempunyai justifikasi yang jelas dan nyata dalam membuat setiap keputusan. Dalam konteks ini saya melihat teraju kepimpinan Polis Di Raja Malaysia yang diketuai oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Timbalan beliau yang baru Datuk Khalid Abu Bakar adalah gandingan yang boleh dicontohi oleh pegawai-pegawai kanan Polis sama ada di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, Kontinjen mahu pun peringkat Daerah-Daerah. Penekanan terhadap hubungan yang baik dengan masyarakat perlu dijadikan agenda utama. Pembentukan imej dan peranan pasukan polis dalam masyarakat perlu dipertingkatkan kerana menerusi pendekatan ini khidmat pasukan ini tentu sekali dapat dihargai dan dihormati oleh masyarakat. Ini adalah misi yang perlu dipertahankan dan saya mahu agar polis merangka pendekatan yang lebih strategik dalam tempoh terdekat untuk terus mendekati masyarakat.

Dalam melaksanakan segala tanggungjawab itu saya bersama kepimpinan di Kementerian Dalam Negeri akan terus memastikan bahawa soal kebajikan dan keperluan pihak berkuasa akan diberi penekanan.

Dalam konteks pembangunan dan keperluan tugas polis, dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (2006 – 2010) sebanyak 224 projek bernilai RM4.5bilion telah diluluskan. Dalam hubungan ini juga Kerajaan telah membuat keputusan agar kuarters lama yang mempunyai dua bilik diubahsuai menjadi tiga bilik bagi menjamin keselesaan anggota dan keluarga polis. Sehingga kini sebanyak 816 unit rumah di seluruh negara telah diubahsuai melibatkan kos sebanyak RM21juta. Dalam Rancangan Malaysia ke-10 sebanyak enam projek telah diluluskan bagi tempoh 2011 hingga 2012 dengan kos berjumlah RM125juta dan sebanyak 34 projek lagi telah dipohon untuk dilaksanakan dalam tempoh 2013 hingga 2015 dengan anggaran kos RM1.1bilion.

Saya memberi penekanan terhadap perkara-perkara seumpama ini untuk memastikan para pegawai dan anggota mempunyai persekitaran yang kondusif untuk bertugas dan pada masa yang sama membangunkan keluarga masing-masing. Apa yang penting adalah agar PDRM dapat bergerak selari dengan masa dan dapat memenuhi keperluan dan tuntutan semasa.

, , , ,