web analytics

Kenyataan Media TMDN: Program Perlaksanaan Perintah Kehadiran Wajib Pesalah

10 June 2011

Kenyataan Media/Akhbar

Program Pelaksanaan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) Pesalah merupakan satu program di mana pesalah-pesalah tidak dihukum pemenjaraan sebaliknya menjalankan tugas-tugas dalam komuniti. Tujuan program ini yang juga merupakan salah satu daripada inisiatif NKRA adalah untuk mengurangkan kesesakan dalam penjara di samping itu dapat mengurangkan kos kerajaan dalam menanggung pesalah-pesalah kesalahan kecil sekiranya ditempatkan dalam penjara. Sementara itu, dengan pelaksanaan program ini, pesalah-pesalah juga dapat meneruskan pekerjaan asal dan menanggung keluarga mereka.

Perlaksanaan program ini bermula apabila mahkamah menjatuhkan hukuman untuk hadir ke Pusat Kehadiran Wajib sebagai alternatif hukuman penjara menggunakan Akta Kehadiran Wajib Pesalah-pesalah 1954. Hukuman mestilah kurang daripada 3 bulan dan pesalah-pesalah hendaklah menjalankan kerja wajib tidak melebihi 4 jam sehari di pusat yang diwartakan. Sebagai contoh, menjalankan kerja kebersihan di Rumah Orang-orang Tua, rumah kanak-kanak spastik di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan dikawal oleh pegawai seliaan Pusat Kehadiran Wajib (PKW) Jabatan Penjara Malaysia.

Program PKW telah mula dilaksanakan pada 1 September 2010 dengan menggunakan anggota sedia ada Jabatan Penjara dan infrastruktur Pejabat Parol Negeri dan Daerah. Sehingga 3 Jun 2011 seramai 301 orang pesalah telah menjalani perintah ini. Daripada jumlah tersebut, setakat ini Kerajaan telah dapat menjimatkan kos pengurusan pesalah berjumlah hamper RM 1 juta (atau RM948,150.00).

Kementerian Dalam Negeri
9 Jun 2011

,