
“Pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) oleh kerajaan dalam menangani kadar jenayah jalanan telah menampakkan hasil yang begitu membanggakan sekali kerana indeks jenayah keseluruhan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini menurun sebanyak 10% berbanding pada tahun lalu”, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam lawatannya ke IPD Dang Wangi sempena Program Turun Padang (PTP) bagi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 5 Jun 2011 lalu.

Menurut beliau, kejayaan yang membanggakan ini adalah hasil daripada kerjasama PDRM dengan semua pihak seperti komuniti penduduk dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), dan dalam pada itu, kerajaan juga telah mengeluarkan seramai 7,400 pegawai dan anggota polis yang bertugas di pejabat untuk melakukan rondaan.

Langkah ini juga diperkuatkan lagi dengan kehadiran seramai 8,140 anggota Pasukan gerakan AM (PGA) serta melatih seramai 5000 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai polis sukarela bagi membantu melakukan rondaan di kawasan hot-spot”.

Turut hadir bersama dalam lawatan tersebut ialah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusoff, Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar.
–team berita ikdn


















6 June 2011
KDN Sana Sini