“Saya berasa bangga di atas usaha Jabatan Penjara Malaysia kerana memberikan penghormatan kepada saya untuk menyempurnakan majlis ini”, kata Datuk Wira Abu Seman bin Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam Majlis Perasmian Perlaksanaan Perintah Kehadiran Wajib Di Bawah Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 di Rumah Sejahtera Bukit Baru, Melaka pada 9 Jun 2011 yang lalu.
Program Pusat Kehadiran Wajib (PKW) adalah merupakan inisiatif Jabatan Penjara Malaysia dalam usaha Jabatan ini mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utaman Negara (NKRA) iaitu mengurangkan kadar jenayah. Kerja wajib di dalam tafsiran Akta Kehadiran Wajib 1954 bererti apa-apa kerja buruh, tugas, kerja atau kursus pengajaran yang di perintahkan oleh mahkamah dan diakujanji oleh pesalah-pesalah yang telah disabitkan kesalahan untuk melaksanakan perintah kehadiran wajib.
Perlaksanaan program ini bermula apabila mahkamah menjatuhkan hukuman untuk hadir ke Pusat Kehadiran Wajib sebagai alternatif hukuman penjara menggunakan Akta Kehadiran Wajib Pesalah-pesalah 1954. Hukuman mestilah kurang daripada 3 bulan dan pesalah-pesalah hendaklah menjalankan kerja wajib tidak melebihi 4 jam sehari di pusat yang diwartakan. Sebagai contoh, menjalankan kerja kebersihan di Rumah Orang-orang Tua, rumah kanak-kanak spastik di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan dikawal oleh pegawai seliaan Pusat Kehadiran Wajib (PKW) Jabatan Penjara Malaysia.
“Saya yakin dan percaya bahawa pendekatan yang digunakan di dalam perlaksanaan perintah kehadiran wajib ini turut membuka peluang kepada para pesalah untuk berbakti kepada masyarakat setempat”, tambah Datuk Wira Abu Seman bin Yusop lagi.
Program PKW telah mula dilaksanakan pada 1 September 2010 dengan menggunakan anggota sedia ada Jabatan Penjara dan infrastruktur Pejabat Parol Negeri dan Daerah. Sehingga 3 Jun 2011 seramai 301 orang pesalah telah menjalani perintah ini. Daripada jumlah tersebut, setakat ini Kerajaan telah dapat menjimatkan kos pengurusan pesalah berjumlah hamper RM 1 juta (atau RM948,150.00).
Turut hadir Dato` Abdul Rahim bin Mohd Radzi, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wira Hj. Zulkifli bin Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Tan Sri Dato’ Tan Cheang Swee, Pengerusi Rumah Sejahtera Bukit Baru Melaka.
–team berita ikdn


















10 June 2011
KDN Sana Sini