web analytics

Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Dan Pendaftaran (Biometrik) Warga Asing

1. Kerajaan telah melaksanakan sistem kawalan imigresen secara menyeluruh melibatkan penggunaan teknologi biometrik bermula 1 Jun 2011 di 63 pintu masuk seluruh negara. Pada peringkat awal pelaksanaan sistem ini terdapat beberapa kesukaran dan kelewatan yang dihadapi oleh pelawat-pelawat di sesetengah pintu-pintu masuk.

2. Sehubungan dengan itu, Kementerian dalam Negeri telah membuat tinjauan dan pemantauan menyeluruh secara berterusan dan telah mengenal pasti beberapa penambahbaikan untuk mempercepatkan urusan keluar/ masuk. Penambahbaikan ini merangkumi proses kerja, logistik dan sistem untuk dilaksanakan dengan serta-merta seperti berikut:

(i) pengembara kerap yang terdiri daripada pemegang Malaysia Automated Clearance System (MACS), Frequent Travelers Facility (FTF), pemegang Pas Sempadan dan Pas Lintas Batas akan diambil biometrik sekali sahaja;

(ii) bagi pelawat asing yang lain, proses pengambilan biometrik masih dikekalkan seperti sedia ada, walau bagaimanapun pelekat Nexcode akan hanya dikeluarkan sekali sahaja untuk setiap pasport yang masih sah laku; dan

(iii) pengubahsuaian di kaunter serta peralatan seperti memanjangkan wayar kabel mesin fingerprint scanner agar memudahkan pelawat dalam kenderaan semasa proses pengambilan biometrik berlaku; dan

(iv) pegawai-pegawai imigresen juga akan ditempatkan di luar kaunter untuk membantu pelawat semasa proses pengambilan biometrik.

3. Langkah-langkah berkenaan adalah bertujuan memendekkan tempoh masa semakan di samping mengurangkan kesulitan yang dihadapi oleh pelawat di pintu-pintu masuk.

4. Kementerian akan memastikan semua usaha-usaha ini dilaksanakan dengan serta-merta di semua pintu masuk negara khususnya di Bangunan Sultan Iskandar, Johor.

5. Langkah-langkah penambahbaikan ini akan dilaksanakan dalam tempoh seminggu bermula hari ini.

KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
6 JUN 2011

, ,