web analytics

Teks Ucapan MDN Sempena Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi

Asssalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Yang Berhormat
Datuk Wira Abu Seman bin Yusop
Timbalan Menteri Dalam Negeri

Yang Berhormat
Dato’ Lee Chee Leong
Timbalan Menteri Dalam Negeri

Yang Berbahagia
Tan Sri Mahmood bin Adam
Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri
Yang Dihormati
Inspektor Jeneral
Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar
Ketua Polis Negara

Yang Dihormati
Deputi Inspektor Jeneral
Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar
Timbalan Ketua Polis Negara

Yang Dihormati
Senior Asisten Komisioner Polis
Dato’ Amar Singh S/O Ishar Singh
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur

Pegawai-pegawai kanan polis, wakil-wakil media, seterusnya tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dimuliakan sekalian.

1. Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan berkat izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama hadir bagi meraikan sebuah majlis yang amat bersejarah, iaitu Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

2. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM), khususnya Kontinjen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Yang Dihormati Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara kerana telah mempunyai sebuah kompleks baru Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) yang tersergam indah di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Tahniah juga diucapkan operasi IPD ini telah berjaya dimulakan sejak bulan September 2010 dan sudah mula didiami sejak bulan Oktober 2010 lagi.

3. Sesungguhnya majlis ini adalah amat bersejarah dan amat penting dalam takwim PDRM. Bersejarah; kerana seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Ismail tadi, IPD ini sendiri merupakan IPD yang sarat dengan sejarah; bermula sebagai Ibu Pejabat Daerah Polis Campbell pada tahun 1917, iaitu sembilan puluh empat (94) tahun dahulu.
Anggota polis yang pernah berkhidmat di IPD ini pernah menjadi saksi kepada begitu banyak peristiwa, insiden dan tragedi penting yang melibatkan keselamatan rakyat dalam sejarah kita bernegara.

4. Hari ini, sekali lagi IPD Dang Wangi melakar sejarah kerana ia menjadi lambang kepada komitmen kerajaan untuk meningkatkan lagi keberkesanan pasukan Polis dalam memberikan khidmat kepada rakyat dan memerangi jenayah di dalam ibu kota Kuala Lumpur. Seperti yang disebutkan oleh Tan Sri Ismail tadi, ini merupakan daerah polis yang paling sibuk dengan purata lapan puluh ribu (80,000) laporan polis diterima setiap tahun. Dengan pertambahan yang besar dari segi kegiatan ekonomi, jumlah penduduk dan pengunjung ke Kuala Lumpur, maka amat wajar IPD Dang Wangi ini diperbesar dan dipermodenkan bagi membolehkan anggota polis di IPD ini memberikan perkhidmatan yang cekap, cepat dan berkesan.

[Note: Dalam ucapan IGP, disebut - Bangunan IPD setinggi 12 tingkat ini, yang turut ditempatkan Balai Polis Dang Wangi, mengandungi bilik-bilik pejabat, lapan (8) unit bilik mesyuarat, enam (6) unit bilik taklimat, satu (1) unit dewan, seratus empat (104) unit lokap yang dilengkapi dengan CCTV, dua belas (12) unit bilik soal siasat, satu (1) unit bilik kawad cam, dua (2) unit bilik trauma, enam (6) tingkat tempat meletak kenderaan, sembilan (9) lorong lapang sasar, dan dua (2) tingkat blok Cawangan Pengangkutan.
Selain daripada itu, untuk kemudahan aktiviti kerohanian, sebuah surau yang boleh memuatkan seramai lima ratus (500) orang jemaah juga telah dibina. Manakala, bangunan kuarters pula didirikan 20 tingkat, terdiri daripada Kelas D (2) unit, kelas E (4) unit, kelas F (48) unit, rumah transit (2) unit, rumah Perkep (1) unit, Berek Bujang (5) unit dan tempat meletak kenderaan setinggi 3 tingkat yang mengandungi 52 lot. Dalam pada itu, IPD Dang Wangi mempunyai tiga (3) buah balai induk yang terdiri daripada Balai Polis Dang Wangi, Balai Polis Tun H.S Lee dan Balai Polis Chow Kit , serta empat (4) buah Balai Polis Komuniti iaitu Balai Polis Komuniti Masjid India, Balai Polis Komuniti Putra, Balai Polis Komuniti Kenanga dan Balai Polis Komuniti Raja Bot serta dua (2) buah Pondok Polis iaitu Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur dan Pondok Polis Puduraya (dalam proses pengubahsuaian).]

5. Saya pernah menyebut bahawa saya meletakkan harapan yang tinggi kepada Tan Sri Ismail untuk membawa perubahan yang menyeluruh kepada imej pasukan polis dan memberi semangat baru kepada semua anggotanya. Saya gembira kerana Tan Sri menyambut harapan saya ini dengan komitmen 4P – Protective (Pelindung Rakyat), Performance and Outcome Oriented (Berorientasi Prestasi dan Hasil), Proactive (Proaktif), People Oriented (Berorientasikan Rakyat). Komitmen 4P ini penting kerana ia adalah formula yang tepat untuk membantu Perdana Menteri mencapai hasrat Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

6. Komitment 4P ini juga penting kerana imej pasukan polis hanya dapat diangkat ke suatu tahap yang lebih tinggi sekiranya pasukan polis dapat memenuhi harapan rakyat terhadap mereka; iaitu, pertamanya, untuk mereka mengurangkan kejadian jenayah sehingga rakyat merasa selamat. Kedua, apabila anggota Polis menunjukkan tahap integriti yang tinggi. Ketiga, apabila dapat meningkatkan tahap kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh pasukan polis secara cekap, pantas, betul dan bebas kesilapan.

7. Majlis hari ini memang tepat pada waktunya, kerana ia adalah bukti kesungguhan kerajaan untuk melonjakkan lagi keupayaan dan meningkatkan kecekapan pasukan polis. Bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bukan sekadar mercu tanda dan kompleks yang besar semata-mata, tetapi yang jauh lebih penting adalah komitmen kerajaan untuk membolehkan PDRM memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

8. Perasmian pada hari ini bukan hanya satu perasmian semata-mata, malah ianya mencerminkan pelaksanaan falsafah kepolisan yang menepati ciri-ciri metropolitan di era kini.
Kepolisan metropolis merupakan trend yang dijangka akan terus berkembang di tahun-tahun mendatang sejajar dengan perkembangan pesat negara. Kawasan atau bandar yang dulunya kecil kini semakin meluas membangun dan semakin sofistikated. Perubahan ini menuntut pasukan polis memperlengkapkan jabatan dengan sumber manusia yang kompeten, tetapi prasarana juga mestilah mampu menepati kehendak masyarakat. Kehadiran polis, dibantu dengan prasarana moden serta kelengkapan seperti IPD Dang Wangi yang tersergam indah akan memungkinkan peranan law and order dapat dipraktikkan sepenuhnya sebagai penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

9. Pada waktu yang sama, perasmian IPD Dang Wangi ini juga merupakan bukti keprihatinan kerajaan untuk memastikan keselesaan dan kebajikan anggota polis dan keluarga mereka. Semua ini dilakukan agar anggota polis mempunyai `peace of mind’ dan dengan itu mereka dapat berkhidmat dengan lebih cekap, tanpa keluh kesah dan bermotivasi tinggi. Kerajaan percaya jika persekitaran kerja dan aspek kebajikan anggota polis dan keluarga mereka dapat ditingkatkan, mereka akan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik, cekap dan lebih sempurna kepada orang ramai.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dihormati sekalian,

10. Saya berasa amat gembira kerana seperti kadar jenayah di peringkat nasional, Jenayah Indeks di Kuala Lumpur juga menunjukkan trend penurunan yang sama. Jumlah keseluruhan kes Jenayah Indeks berkurang sebanyak 18.3%, iaitu dari 36,663 kes pada tahun 2009 kepada hanya 29,952 kes pada tahun 2010. Jenayah Jalanan pula menurun sebanyak 38.4%, iaitu dari 11,186 kes pada tahun 2009 kepada hanya 6,887 kes pada tahun 2010.

11. Pada waktu yang sama, saya juga gembira kerana laporan terbaru GLOBAL PEACE INDEX (GPI) yang dikeluarkan pada 25 Mei 2011 meletakkan Malaysia di tangga ke-19 Indeks Keamanan Global. Kedudukan ini lebih baik dua anak tangga berbanding tahun 2010. Pada tahun 2010, Malaysia berada di tangga ke-22 GPI; 15 anak tangga lebih baik berbanding tahun 2008 (tempat ke-37) dan lebih baik 4 anak tangga berbanding tahun 2009 (tempat ke-26).

12. Saya menyedari bukan mudah untuk memastikan kadar jenayah ini diturunkan. Kita telah menempatkan begitu ramai anggota polis di jalanan dan mengerahkan mereka berhujan dan berpanas setiap hari.
Saya juga insaf, untuk memastikan jenayah dan keganasan dapat dihalang, kita juga telah menghantar anggota kita masuk jauh ke sarang musuh, memaksa mereka berjauhan dengan keluarga, menugaskan mereka dengan tugas yang boleh mengundang maut dan bahaya. Semuanya bagi memastikan keamanan dapat terus dipelihara dan jenayah dapat dihalang sebelum ia bermula. Begitu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh anggota polis kita dan juga keluarga mereka, semata-mata untuk membolehkan kita semua meninggalkan rumah dan bekerja dalam keadaan tenang di waktu siang dan tidur lena di waktu malam.

13. Disebabkan itu, bagi saya, biar apa pun yang diperkatakan oleh pihak tertentu, pasukan Polis tetap merupakan tunggak dan pasak yang menjadikan keamanan negara terpelihara dan rakyat menikmati kemakmuran berterusan. Saya juga yakin, di sebalik pelbagai tohmahan dan dakwaan, sebahagian besar rakyat Malaysia mengiktiraf dan menghargai peranan Polis. Ibarat pantun Melayu lama;

Orang darat suka bertandang,
Sambil bertandang membawa bakul,
Berapa berat mata memandang,
Berat lagi bahu memikul.

Kain pelikat mukanya dua,
Mari kait benang berduri,
Sudah bertekad kita berdua,
Orang lain jangan peduli.

14. Disebabkan itu jugalah, saya bertekad untuk terus mempertahankan PDRM dari sebarang tindakan yang mencemar dan mempertikaikan kredibiliti institusi penting ini. Percayalah, dengan amanah dan kuasa yang ada, saya bersedia melakukan apa saja untuk bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan, mengangkat dan meletakkan PDRM agar menjadi salah sebuah pasukan polis yang terbaik di kalangan yang terbaik di dunia.

15. Saya menyedari dan memahami akan rintihan keluarga anggota polis kerana saya menerimanya melalui pelbagai saluran; ada yang dilaporkan oleh Timbalan-timbalan saya, ada yang melalui Tan Sri Ketua Polis Negara atau Tan Sri Ketua Setiausaha, ada juga yang melalui pegawai-pegawai saya, pengundi-pengundi saya di Sembrong termasuklah yang membuat pelbagai posting melalui Facebook saya. Cepat atau lambat, semua ini dilaporkan kepada saya.

16. Memanglah kita tidak dapat memenuhi permintaan semua pihak, tetapi semua ini saya bincangkan secara panjang lebar panjang dengan Tan Sri Ismail dan kita sedang berusaha mencari sebanyak mungkin cara bagi menambah baik aspek kebajikan para anggota dan pesara polis selagi ia berada di dalam batas kemampuan kerajaan. Saya telah meminta agar aspek kebajikan anggota dan pegawai PDRM dilihat secara menyeluruh dan dari pelbagai sudut merangkumi soal elaun, kenaikan pangkat, beban tugas, penstrukturan koperasi polis, kemudahan infrastruktur dan perumahan serta perkakasan yang diperlukan. Saya tidak mahu anggota kita terus bekerja dalam persekitaran yang bukan sahaja tidak kondusif malah boleh membahayakan diri mereka. Perlu ada peningkatan dari segi perkakasan, agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan memberikan mereka kelebihan ke atas penjenayah.

17. Usaha terkini Dato’ Seri KSU dan KDN adalah bagi memperkukuh skim di bawah PDRM supaya menjadi lebih kompetitif dan berdaya maju, bukan sahaja melibatkan Pegawai Kanan PDRM, tetapi juga perlu lebih menyeluruh melibatkan perubahan gaji matriks dan elaun di kalangan pegawai rendah polis (PRP) dan konstabel.
Skim Perkhidmatan Baru yang akan diperkenalkan ini bertujuan menambah baik dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelayakan masuk; penggredan semula struktur pangkat, struktur gaji matriks; dan imbuhan tetap bagi memastikan skim perkhidmatan polis sentiasa relevan dan berdaya saing berbanding skim perkhidmatan yang lain.

18. Alhamdulillah dalam konteks pembangunan dan keperluan tugas polis, dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (2006 – 2010) sebanyak 224 projek bernilai RM4.5bilion telah diluluskan. Kerajaan juga telah membuat keputusan agar kuarters lama yang mempunyai dua bilik diubahsuai menjadi tiga bilik bagi menjamin keselesaan anggota dan keluarga polis. Sehingga kini sebanyak 816 unit rumah di seluruh negara telah diubahsuai melibatkan kos sebanyak RM21juta. Dalam Rancangan Malaysia ke-10 sebanyak enam projek telah diluluskan bagi tempoh 2011 hingga 2012 dengan kos berjumlah RM125juta dan sebanyak 34 projek lagi telah dipohon untuk dilaksanakan dalam tempoh 2013 hingga 2015 dengan anggaran kos RM1.1bilion.

19. Semua telah berada di dalam landasan. Banyakkanlah berdoa. Mudah-mudahan banyak perkara yang sedang kita usahakan akan menjadi kenyataan.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dihormati sekalian,

20. Saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang penuh bermakna ini, untuk menyeru orang ramai, terutama sekali penduduk sekitar kota raya metropolitan ini, agar sentiasa memberi sokongan yang padu terhadap segala usaha yang dijalankan oleh pihak polis. Kerjasama orang ramai dengan pihak polis adalah sangat penting. Kita mesti bersatu untuk mencegah jenayah, demi kesejahteraan kita semua.

21. Kita mesti bersatu, untuk membolehkan kita hidup dalam keadaan yang aman dan selamat serta sejahtera. Saya berharap, agar semua pihak menyedari betapa pentingnya keluhuran undang-undang (rule of law) dipelihara dengan baik. Orang ramai dengan polis ibarat aur dengan tebing, mestilah sentiasa bantu-membantu, untuk mencapai kesejahteraan hidup bersama.

22. Akhir kata, saya berharap Bangunan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi yang indah dan menarik ini, bukan sahaja menjadi pejabat yang selesa untuk Pegawai-pegawai dan Anggota PDRM menjalankan tugas, tetapi juga menjadi inspirasi untuk meningkatkan lagi prestasi masing-masing. Mudah-mudahan ianya menjadi lambang kestabilan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

23. Dengan lafaz kalimah;

Saya dengan sukacitanya merasmikan Bangunan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada petang yang berbahagia ini.

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum
Warrahmatullahi Wabarakatuh.

Terima Kasih

, ,