
Siasat Mandarin NTV7 telah menjalankan siasatan dan mendapati ada agensi-agensi pembantu rumah di Malaysia membawa masuk gadis bawah umur dari Cambodia untuk bekerja.
Berlangsung di bilik mesyuarat Pejabat KSU, satu sesi temuramah di antara Tan Sri Mahmood Bin Adam Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan wartawan NTV7 telah diadakan pada 30 Jun 2011. Temuramah tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan informasi mengenai aktiviti pemerdagangan kanak-kanak di Malaysia bagi program “Siasat Mandarin NTV7”.


Dalam sesi temuramah tersebut, Tan Sri KSU telah menerangkan peranan dan komitmen Majlis Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (MAPO) dalam menangani isu pemerdagangan orang khasnya kes yang melibatkan kanak-kanak. Tambah beliau, MAPO sentiasa mengadakan mesyuarat secara konsisten bersama lima jawatankuasa khas merangkumi Jawatankuasa Perundangan; Jawatankuasa Media dan Publisiti; Jawatankuasa Pusat Perlindungan dan Pemulihan Mangsa; Jawatankuasa Penguatkuasaan; dan Jawatankuasa Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh. Mesyuarat yang diadakan satu kali setiap bulan ini adalah bertujuan untuk menilai prestasi setiap jawatankuasa MAPO dan memantau perkembangan terkini mengenai aktiviti pemerdagangan orang dqn penyeludupan migran.

Disamping itu, Tan Sri KSU turut menyeru kepada orang ramai agar menghubungi MAPO menerusi talian 999 sekiranya mempunyai maklumat dan bukti mengenai aktiviti membawa masuk pekerja asing di bawah umur untuk dipaksa bekerja di Malaysia. Selain itu, beliau turut menasihati semua agensi pembantu rumah di Malaysia supaya berhati-hati dalam mengendalikan urusan pengambilan pekerja asing dan tidak terlibat dalam sebarang bentuk aktiviti pemerdagangan orang atau berdepan dengan hukuman yang berat. Berdasarkan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang dikuatkuasakan pada 28 Februari 2008, hukuman maksimum sebanyak RM1000,000.00 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan kepada sesiapa yang didapati bersalah.
Ujar beliau, pemerdagangan orang dan penyeludupan migran merupakan isu yang merentasi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi. Oleh yang demikian, Tan Sri KSU memberi saranan kepada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menangani isu ini.
–team berita ikdn


















30 June 2011
KDN Sana Sini