web analytics

Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Jabatan Imigresen: Program Pendaftaran Pekerja Asing Sah

14 July 2011

Kenyataan Media/Akhbar

Kenyataan Akhbar

Dato’ Alias Ahmad
Ketua Pengarah
Jabatan Imigresen Malaysia

Program Pendaftaran Pekerja Asing Sah
13 Julai 2011

1. Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan dibuka setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad bagi menguruskan Pendaftaran Pekerja Asing Sah bermula hari ini sehingga tarikh akhir pendaftaran pada 31 Julai depan.

2. Inisiatif ini diambil bertujuan memastikan urusan pendaftaran pekerja asing sah yang dianggarkan berjumlah kira-kira 1.8 juta orang di negara ini dapat dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan.

3. Ini adalah susulan kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam yang mengumumkan semalam mengenai keputusan kerajaan menangguhkan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau singkatannya Program 6P kepada 1 Ogos depan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Sah.

4. Urusan pendaftaran pekerja asing sah ini akan dilaksanakan sepenuhnya oleh JIM menerusi kaunter-kaunter di semua pajabat JIM seluruh Semenanjung Malaysia.

5. Bagaimanapun, untuk syarikat yang mempunyai jumlah pekerja asing melebihi 500 orang, mereka boleh menghubungi pejabat JIM di setiap negeri bagi memohon pembukaan kaunter khas di premis masing-masing.

6. Susulan daripada permohonan yang diterima, JIM akan menghantar sekumpulan pegawainya untuk membuka kaunter sementara dan bertugas mengendalikan pendaftaran di premis tersebut sehingga selesai semua urusan berkaitan.

7. Inisiatif ini diharap dapat membantu pihak syarikat selain bertujuan mengurangkan kesesakan serta waktu menunggu yang lama bagi urusan pendaftaran di semua pejabat-pejabat JIM.

8. Pendaftaran pekerja asing sah ini tidak dikenakan sebarang bayaran dan berikutan itu, kerajaan memberi amaran supaya tiada pihak cuba mengambil kesempatan dengan menyamar sebagai wakil atau ejen pendaftaran. Sehubungan itu, jika ada kes yang merujuk kepada perbuatan ini, laporan perlu dibuat kepada pihak polis dan JIM.

=Tamat=

, ,