web analytics

Kenyataan Akhbar MDN: Pertukaran Dua Hala Malaysia-Australia Mengenai Pelarian/Pemohon Suaka

25 July 2011

Kenyataan Media/Akhbar

Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri

Pertukaran Dua Hala Malaysia-Australia Mengenai Pelarian/Pemohon Suaka

Putrajaya, 25 Julai 2011

Hari ini saya menandatangani dokumen berkenaan pertukaran dua hala Malaysia-Australia mengenai pelarian/ pemohon suaka. Saya menandatangani dokumen ini bagi pihak kerajaan Malaysia manakala pihak Australia diwakili Menteri Imigresen dan Kewarganegaraan, Chris Bowen.

Rasional pertukaran pelarian/pemohon suaka ini adalah untuk menjejaskan model perniagaan sindiket-sindiket penyeludupan migran yang turut terlibat dengan jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan orang, penyeludupan dadah, keganasan, pengubahan wang haram dan lain-lain. Tambahan pula, Malaysia telah digunakan sebagai transit oleh sindiket penyeludupan migran ini sebelum membawa migran yang diseludup ke negara-negara ketiga termasuk Australia.

Melalui pertukaran ini, pihak Australia akan menghantar 800 pemohon suaka yang ditahan di perairan Australia kerana menggunakan bot haram. Pada masa yang sama, pihak Australia pula akan menerima 4,000 orang pelarian sedia ada di Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi tujuan penempatan semula di negara tersebut.

Keseluruhan proses penempatan semula ini akan mengambil tempoh masa selama 4 tahun dan pihak Australia akan menanggung segala kos pelaksanaan berhubung pertukaran pelarian/pemohon suaka ini. Mereka yang dipindahkan ini akan ditempatkan di satu pusat dalam tempoh tertentu (lebih kurang 6 minggu) untuk pemeriksaan asas sebelum dibenarkan untuk berada dalam komuniti/masyarakat. Lokasi pusat ini belum ditentukan lagi dan masih di peringkat perbincangan. Layanan terhadap pelarian selepas tempoh ini adalah mengikut standard yang ditentukan di bawah UNHCR.

Bagi memastikan pemohon suaka yang dihantar dari Australia tidak mengancam keselamatan negara, Malaysia mensyaratkan agar pemohon suaka ini tidak termasuk dalam i) senarai dikehendaki di peringkat antarabangsa, ii) senarai pengganas, dan iii) pendatang asing tanpa izin (PATI).

Selain itu, saya juga ingin memaklumkan bahawa UNHCR dan Organisasi Antarabangsa Mengenai Migrasi (IOM) turut mempunyai peranan dalam pertukaran pelarian/pemohon suaka Malaysia-Australia ini. Dalam konteks ini, UNHCR akan memainkan peranan dalam i) memproses permohonan pemohon suaka, ii) menentukan status pelarian, dan iii) memberikan khidmat sokongan berkaitan. Manakala IOM berperanan dalam i) membuat saringan kesihatan, ii) menguruskan logistik penempatan semula pelarian di negara ketiga, iii) menguruskan penghantaran pulang pemohon suaka secara sukarela ke negara asal, dan iv) memberikan khidmat sokongan berkaitan.

Australia memilih Malaysia untuk mengadakan kerjasama ini kerana mereka yakin dan percaya dengan kemampuan dan komitmen Malaysia terhadap isu pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia. Buktinya, pada tahun 2010, kita telah melancarkan Pelan Tindakan Nasional bagi menangani isu pemerdagangan orang dan berjaya meminda Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (AKTA 670). Hasil kepekaan dan kecekapan tindak balas kita terhadap jenayah pemerdagangan manusia, kita telah berjaya memperbaiki penarafan negara dari TIER 3 Watchlist pada tahun 2009 kepada TIER 2 Watchlist pada tahun 2010.

Saya juga ingin nyatakan di sini bahawa walaupun Malaysia bukan negara anggota kepada Konvensyen PBB mengenai Pelarian, namun pihak kerajaan sentiasa mengambil berat soal pelarian di negara ini terutama berhubung aspek kemanusiaan. Malah, sejarah membuktikan bahawa Malaysia pernah menerima beribu-ribu pelarian Vietnam sekitar akhir tahun 70-an dahulu serta telah mengurus kehadiran mereka dengan baik.

Malaysia tidak menandatangani Konvensyen PBB mengenai Pelarian kerana sesungguhnya negara ini tidak mampu untuk memberikan akses kepada peluang pendidikan, pekerjaan, rumah perlindungan, dan makanan kepada pelarian kerana masih ramai rakyat Malaysia yang memerlukan pembelaan dari aspek ini.

Kini, Malaysia mempunyai sehingga 84,000 pelarian yang kebanyakannya berasal dari Myanmar dan warganegara lain-lain. Ini membuktikan bahawa walaupun Malaysia bukan negara anggota kepada Konvensyen PBB mengenai Pelarian tetapi ia masih menjadi destinasi kepada sejumlah besar pelarian yang berasa selamat berada di negara ini.

Oleh itu, tuduhan bahawa Malaysia tidak bertindak adil terhadap pelarian di negara ini adalah tidak benar sama sekali. Dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang dihadapi, Malaysia masih membenarkan pelarian-pelarian yang lari daripada ancaman seperti bencana alam, perang, kebuluran mahupun kepayahan hidup di negara asal untuk bernaung di bumi Malaysia. Justeru, saya berharap persefahaman ini akan memberi harapan kepada lebih 4,000 pelarian yang akan diterima oleh Australia di bawah pertukaran ini.

Program pertukaran Malaysia dan Australia berhubung perkara ini merintis ke arah usaha yang lebih berkesan bagi menangani sindiket-sindiket jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang. Dalam konteks ini, saya menyeru agar permasalahan kebanjiran pemohon suaka / pelarian dilihat dalam konteks serantau di mana ASEAN boleh menjadi contoh kepada rantau-rantau lain dalam menyelesaikan isu seperti ini. Kerjasama Malaysia dengan Australia merupakan komitmen kedua-dua buah negara bagi memerangi ancaman jenayah rentas sempadan terutamanya jenayah penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang.

=tamat=

, ,