Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Program Kempen Operasi MyDaftar dan MyKad Dengan Struktur Baru
Kuala Lumpur, 29 Julai 2011
Saya ingin memaklumkan bahawa selaras dengan usaha untuk merealisasikan nilai tambah kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Program MyDaftar Masyarakat India telah dilancarkan pada 19 hingga 26 Febuari 2011. Program ini dilaksanakna atas inisiatif KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara serta Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India, dan Jabatan Perdana Menteri.
Program MyDaftar Masyarakat India mereupakan program,m yang diadakan khusus untuk mengenalpasti jumlah sebenar masyarakat India yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan juga membantu masyarakat India yang menghadapi masalah berkaitan pendaftaran Sijil Kelahiran, Kad Pengenalan, Kewarganegaraan dan juga Pendaftaran Perkahwinan dan Perceraian.
Sepanjang 8 hari program ini berlangsung, sebanyak 14,835 kehadiran orang awam (masyarakat India) direkodkan di pusat-pusat program yang telah ditetapkan untuk mendapatkan boring, membuat aduan serta mendapatkan konsultasi. Sehingga tamat program, sebanyak 9,528 borang telah dikembalikan semula untuk diproses.
Jumlah 9,528 borang ini melibatkan 1,778 kes daftar lewat kelahiran (tidak mempunyai dokumen Sijil Kelahiran); 88 permohonan pindaan maklumat dalam sijil lahir; 913 permohonan kad pengenalan; 222 permohonan untuk perkahwinan; dan 6,527 permohonan taraf kewarganegaraan.
Kesemua permohonan untuk kes daftar lewat kelahiran, pindaan maklumat dalam sijil lahir, permohonan kad pengenalan dan permohonan untuk perkahwinan telah 100 peratus selesai diproses. Manakala permohonan dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2011.
Walau bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa program MyDaftar Masyarakat India ini tidak sama sekali mengabaikan aspek penting seperti keselamatan, kesahihan dan ketetapan maklumat sebagaimana anggapan sesetengah pihak. Ingin dijelaskan juga bahawa sebarang pertimbangan dan kelulusan adalah dibuat berdasarkan kepada Peraturan dan Perundangan sedia ada. Hanya mereka yang menepati syarat dan kelayakan sahaja boleh diberi dokumen pengenalan diri dan taraf kewarganegaraan.
Untuk makluman, Program MyDaftar merupakan salah satu inisiatif nilai tambah KPI KDN melalui JPN sejak tahun 2008 bagi membantu menangani masalah mereka yang tiada dokumen pengenalan diri di kalangan rakyat Malaysia. Ia dijalankan secara berkala dan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Sejak awal saya diamanahkan untuk menerajui KDN, saya telah meminta pihak JPN untuk melipat-gandakan usaha sedia ada dengan turun padang bagi membantu setiap golongan rakyat dalam soal pemprosesan dokumen pengenalan diri khususnya di kalangan masyarakat India. Usaha ini termasuklah meminta pihak JPN menyediakan Unit Khas yang akan turun padang ke estet-estet di seluruh Negara serta lokasi-lokasi tertentu bagi mengenal pasti anak-anak di estet serta anak-anak yang belum mendaftar kelahiran.
Usaha yang dilakukan oleh KDN ini amat selari dengan hasrat yang digariskan dalam gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, iaitu mengutamakan keperluan rakyat untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri bagi membolehkan mereka mendapat hak sebagai penduduk di bumi bertuah Malaysia ini.
Program MyDaftar ini dilaksanakan di bawah agenda nilai tambah KPI iaitu menginstitusikan sistem pengurusan dan penyampaian yang efektif berhubung permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran. KDN ketika ini sedang giat melaksanakan nilai tambah KPI seterusnya iaitu meningkatkan sistem penyampaian, fungsi dan ciri-ciri keselamatan dokumen-dokumen berkaitan pengenalan diri dan imigresen.
Di bawah nilai tambah KPI ini, ingin saya memaklumkan bahawa bermual Januari 2012, JPN akan mengeluarkan MyKad dengan struktur yang baru kepada orang ramai. Kelebihan MyKad baru ini dari segi fizikalnya adalah diperbuat daripada bahan ‘polycarbobate’ yang lebih tahan; menggunakan teknologi turisan laser pada permukaan kad; serta menggunakan cip baru yang telah diuji kualiti ketahanan SIRIM dan makmal semi-konduktur yang diiktiraf.
Saya percaya dengan pengeluaran MyKad baru tersebyt, ia dapat menyelesaikan masalah berkaitan kualiti dan ketahanan MyKad terutama kualiti cip yang sering dibangkitkan akhir-akhir ini. Dengan pengeluaran MyKad baru ini juga, ia akan dapat memudahkan lagi urusan harian orang ramai yang menggunakan MyKad. Selain daripada itu, ciri-ciri baru yang terdapat pada MyKad ini juga, ia dapat mengekang pemalsuan MyKad. Dengan kata lain, MyKad dengan struktur baru ini lebih berkualiti dan menepati cirri-ciri keselamatan, sesuai dengan perderan waktu, keadaan dan cabaran masa depan.
=tamat=


















29 July 2011
KDN Sana Sini