web analytics

Kenyataan KSU Kementerian Dalam Negeri: Perkongsian Maklumat Biometrik Antara Pelbagai Agensi

14 July 2011

Kenyataan Media/Akhbar

Kenyataan Akhbar

Ybhg. Tan Sri Mahmood Adam
Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri

PERKONGSIAN MAKLUMAT BIOMETRIK ANTARA PELBAGAI AGENSI
13 Julai 2011

1. Teknologi National Enforcement and Registration (Biometric) System atau singkatannya NERS yang dibangunkan untuk mengumpul data biometrik serta maklumat pelawat boleh dibuat rujukan silang dengan pelbagai agensi domestik dan antarabangsa, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Interpol, Regional Movement Alert System (RMAS), malah juga lain-lain badan perisikan dunia.

2. Inisitif perkongsian ini dibangunkan sebegitu rupa bagi membantu Malaysia mengekang anasir jenayah rentas sempadan melalui pencegahan kemasukan penjenayah yang mungkin menyamar sebagai pelawat asing tulen di pintu-pintu masuk negara ini. 

3. Sistem NERS adalah one to many (1:N) dan bukan one to one (1:1) seperti dakwaan yang dilaporkan muka hadapan akhbar New Straits Times (NST) hari ini. Hakikatnya, maklumat daripada Biometric Fingerprint Identification System (Biofis) yang dimuat naik dalam pangkalan data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membolehkan saringan terhadap kesalahan imigresen serta senarai syak PDRM dibuat terhadap setiap pelawat yang tiba di semua pintu masuk negara. Ketika proses ini, sekiranya sistem NERS mengenal pasti ada maklumat yang selari dengan data daripada Biofis, maka pegawai imigresen akan membuat makluman segera kepada PDRM dan tindakan seterusnya ialah menghalang individu tersebut daripada masuk ke negara ini.

4. Semenjak sistem NERS dilaksanakan April lalu, sejumlah 2,000 kes pemalsuan identiti dan dokumen bagi tujuan kemasukan ke Malaysia atau sebagai transit untuk ke destinasi seterusnya telah dikenal pasti melalui pengecaman biometrik pelawat di pintu masuk negara.

5. Pada masa yang sama, sehingga 30 Jun 2011, sejumlah 2 juta maklumat biometrik warga asing telah direkodkan sistem NERS dan disimpan dalam pangkalan data JIM. Antara lain, semua maklumat ini berfungsi membantu pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa meningkatkan kecekapan bagi mengesan, mengesahkan identiti serta status warga asing bermula dari tempoh masuk ke negara ini, disusuli pergerakan mereka, keberadaan dan seterusnya pelepasan dari negara ini.

6. Selaras dengan perancangan KDN untuk masa akan datang, pertimbangan sedang dibuat mengenai kemungkinan membekalkan mesin pengimbas biometrik NERS ke balai-balai polis seluruh negara. Ini bertujuan membolehkan PDRM mengambil sendiri data biometrik warga asing tertentu dan dengan merujuk kepada pangkalan data sedia ada, semakan langsung boleh dibuat terhadap status keberadaan individu berkenaan sepanjang mereka berada di negara ini.

Tamat.

,