Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (PROGRAM 6P)
18 Julai 2011
1. Lanjutan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri dan JKKPA-PATI, satu mesyuarat telah diadakan dengan agensi-agensi dan kementerian yang bertanggungjawab kepada sektor-sektor yang menguruskan pekerja asing di negara ini pagi ini Isnin, (18 Julai 2011).
2. Antara lain, agensi dan semua kementerian berkaitan diminta mewujudkan satu focal point bagi memberi maklum balas kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam tempoh dua minggu berhubung statistik keperluan sebenar pekerja asing yang diperlukan setiap sektor di negara ini.
3. Berdasarkan statistik tersebut, Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengambil tindakan susulan dengan mengeluarkan iklan khas bagi memaklumkan senarai pekerjaan serta jumlah kekosongan yang perlu diisi bagi janaan ekonomi di negara ini.
4. Berdasarkan iklan tersebut, rakyat Malaysia akan dipelawa untuk menghantar permohonan bagi mengisi semua kekosongan tersebut, dan baki selebihnya akan dipertimbangkan untuk diisi oleh pekerja/pendatang asing tanpa izin (PATI) yang akan diputihkan oleh Kerajaan menerusi Program 6P.
5. Mesyuarat susulan daripada mesyuarat ini akan diadakan dalam tempoh dua minggu bagi tujuan berbincang mengenai kerjasama antara KDN sebagai urusetia pelaksana Program 6P dengan semua kementerian dan agensi berkaitan.
6. Sehingga semalam, 57,996 pekerja asing sah telah didaftarkan di seluruh Semenanjung Malaysia, membabitkan pekerja asing daripada 3,722 syarikat.
Tamat.


















18 July 2011
Kenyataan Media/Akhbar