web analytics

Kenyataan Media YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri

Memorandum Persefahaman Malaysia-United Kingdom Dalam Bidang Keselamatan
Putrajaya, 6 Julai 2011

Saya ingin memaklumkan bahawa Jemaah Menteri hari ini telah bersetuju agar Malaysia menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama United Kingdom berhubung kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang jenayah rentas sempadan.

MoU ini akan ditandatangani semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke United Kingdom pada 12 hingga 15 Julai ini. Saya bagi pihak kerajaan Malaysia akan menandatangani MoU ini bersama rakan sejawatan saya dari United Kingdom, Rt. Hon. Theresa May semasa lawatan tersebut. MoU ini akan mewujudkan kerangka serta mekanisme kerjasama secara formal dan sistematik di antara kedua-dua negara dalam usaha menangani jenayah rentas sempadan.

Skop kerjasama MoU tersebut merangkumi aspek keganasan, jenayah terancang, pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, penyeludupan dadah, pemalsuan dokumen, jenayah siber dan pengubahan wang haram. Manakala bentuk kerjasama yang bakal dipelopori oleh kedua-dua negara meliputi kerjasama teknikal, perkongsian maklumat risikan, perkongsian kepakaran, perkongsian hasil kajian dan percetakan.

Meskipun kedua-dua negara telah pun mempunyai hubungan kerjasama dalam bidang keselamatan melalui agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan, tetapi MoU ini dijangka akan mewujudkan kerangka serta mekanisme kerjasama secara formal dan sistematik di antara kedua-dua negara.

Agensi-agensi pelaksana di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan terlibat secara langsung dalam melaksanakan MoU ini kelak adalah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK).

Kerajaan kedua-dua negara amat mengalu-alukan cadangan untuk memuktamadkan MoU ini di mana ia melambangkan komitmen dan usaha kedua-dua negara dalam bidang keselamatan terutamanya dalam menangani jenayah rentas sempadan.

Secara umumnya kerjasama yang sedia terjalin antara kedua-dua negara berada pada tahap yang baik dan kedua-dua pihak juga bersetuju untuk memperkukuh fokus terhadap isu jenayah rentas sempadan dengan mengambil kira segenap aspek dan pertimbangan bagi memastikan kaedah yang lebih menyeluruh dapat diwujudkan.

Dalam konteks ini, Malaysia telah melaksanakan kajian terhadap trend dan strategi untuk mengatasi jenayah rentas sempadan selain turut berusaha menambah baik keupayaan pelbagai agensi penguatkuasa serta penyiasat dengan peralatan terkini dan teknik siasatan terbaru.

Pendekatan yang dilakukan oleh Malaysia ini menunjukkan dengan jelas kesungguhan untuk menangani jenayah rentas sempadan selain pentingnya kerjasama di peringkat global dan serantau dibentuk dan diperkukuh bagi menjayakan usaha ini. Malaysia sangat mengalu-alukan kerjasama erat dengan pihak berkuasa United Kingdom berhubung usaha ini.

Selepas kejayaan dalam agenda Mengurangkan Kadar Jenayah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), KDN ketika ini sedang memberikan fokus dan tumpuan untuk menangani isu-isu jenayah rentas sempadan.

Dalam menangani jenayah rentas sempadan ini, Malaysia bukan sahaja mewujudkan hubungan dua hala baru atau memperbaharui kerjasama sedia ada dengan United Kingdom (dalam bidang keselamatan) semata-mata, tetapi juga dengan beberapa buah negara seperti Australia dalam isu penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang, Arab Saudi dalam isu keganasan, China dalam isu keselamatan serta Turki dalam isu risikan dan keselamatan.

=tamat=