
“Anggaplah pelantikan ini bukan hanya sekadar peluang perniagaan tetapi juga sebagai obligasi sosial”. Begitulah kata-kata yang diucapkan oleh Dato’ Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri sewaktu menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Perakuan Syarikat Pengurus bagi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 8 Julai 2011.

Beliau turut menyeru semua syarikat dan persatuan yang telah dilantik agar mengetepikan kepentingan peribadi dan berganding bahu dengan kerajaan dalam menangani ancaman keberadaan warga asing di Malaysia.
Tambah belia lagi, kerajaan telah menghadkan kadar maksimum caj perkhidmatan yang boleh ditetapkan oleh syarikat-syarikat pengurus yang dilantik untuk mengelakkan sebarang unsur manipulasi dan penetapan kadar yang tidak munasabah.

“Kadar maksimum yang ditetapkan adalah RM35 bagi proses pendaftaran dan bagi peringkat seterusnya iaitu pemutihan, caj perkhidmatan maksimum adalah RM300. Para majikan atau individu tidak perlu membayar caj-caj ini sekiranya berurusan secara langsung dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)”, ujar beliau.
Selain itu, beliau turut menasihatkan semua majikan agar tidak membuat sebarang pembayaran pada masa kini kepada mana-mana pihak sehinggalah tarikh rasmi bagi setiap proses diumumkan. Ini adalah kerana, kerajaan telah bersetuju untuk menjadualkan semula tarikh pembukaan kaunter pendaftaran Program 6P.

Keputusan ini diambil disebabkan beberapa faktor iaitu, keperluan untuk membuat latihan intensif kepada lebih 5,000 petugas yang akan terlibat dan kerajaan sedang menyediakan mekanisme untuk menangani isu terdapat pekerja asing yang sah kini lari dari majikan asal untuk terlibat dalam Program 6P dengan mencari majikan baru yang boleh menawarkan gaji lebih lumayan.

Dalam isu ini, Kerajaan telah memutuskan untuk tidak membenarkan pekerja asing yang terlibat untuk diputihkan sungguhpun telah didaftarkan.
“Saya menasihatkan agar pekerja asing yang sah dan telah melarikan diri agar kembali kepada majikan asal kerana kita (kerajaan) tidak akan melayan sebarang permohonan daripada mereka”, tegas Dato Lee Chee Leong lagi.

Majlis turut dihadiri oleh Dato’ Alwi Haji Ibrahim,Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Dato’ Alias Haji Ahmad, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia dan Dato’ Zaitun Ab. Samad Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen.
–team berita ikdn


















8 July 2011
KDN Sana Sini