

“Satu kejayaan yang cukup membanggakan”. Begitulah kata-kata yang diucapkan oleh Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri sewaktu merasmikan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang.
Jelas beliau, Jabatan Penjara Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan perintis kepada pemikiran luar kotak dalam merealisasikan agenda transformasi kerajaan.


“Kerjasama di antara Jabatan Penjara Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Program Pemulihan Pemasyarakatan bukan sahaja telah membantu pencapaian Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) mengurangkan jenayah, tetapi pada waktu yang sama membolehkan kerajaan menjimatkan kos sekitar RM200 juta untuk membina kompleks penjara baru”. Ujar beliau.

Pada majlis perasmian kali ini, satu memorandum persetujuan (MOU) antara pihak TEKUN Nasional, Jabatan Penjara dan Angkatan Tentera Malaysia telah ditandatangani. Ia merupakan satu suntikan baru bagi ODS yang telah berjaya dalam sesuatu kursus kemahiran di lima Pusat Pemulihan Pemasyarakan di seluruh negara untuk memohon bantuan modal bagi memulakan perniagaan dari Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN). Seramai 10 ODS telah menerima surat tawaran pinjaman perniagaan pada majlis tersebut. Manakala seramai 18 ODS pula telah menerima Sijil Kursus Urut Refleksologi yang telah dikendalikan oleh Kolej Komuniti Kluang, Johor.



Selain itu, Menteri Dalam Negeri turut meluangkan masa melawat persekitaran Pusat Pemulihan Pemasyarakatan bagi melihat aktiviti kebudayaan yang terdapat dalam Sub-Modul Pemulihan 1Malaysia; kelas pembangunan sahsiah; demonstrasi urut refleksologi dan gunting rambut oleh ODS yang telah berjaya dalam kursus; dan melihat ODS melayari Portal Jobsmalaysia bagi mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan bantuan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Turut hadir ialah Dato’ Wira Mohd Johari Baharum, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Mahmood Adam, Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Doktor Haji Ismail Ahmad, KSU Kementerian Pertahanan, Datuk Wira Hj. Zulkifli Omar, Komisioner Jeneral Penjara dan Jeneral Datuk Haji Zulkifli Zainal Abidin, Panglima Tentera Darat.


–team ikdn


















25 July 2011
KDN Sana Sini