
“Pusat Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai rakaman video bermula dari awal hingga akhir perhimpunan haram 9 Julai 2011, Sabtu lalu. Jadi, apa sahaja tuduhan dan dakwaaan oleh pihak-pihak tertentu akan disiasat berdasarkan bukti kukuh”. Begitulah kata-kata Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri sewaktu sesi sidang akhbar di Balai Polis Bukit Aman pada 11 Julai 2011.

Jelas beliau, rakaman video berkenaan kini sedang diteliti oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Siber Sekuriti Malaysia (SSM). Oleh itu, segala bukti kukuh yang diperoleh daripada video berkenaan akan diserah kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang telah membuat tuduhan tidak berasas termasuk media tempatan, media asing dan pihak dalam internet (portal berita dan blog)”. Ujar beliau.
Tambah beliau, dakwaan mengenai jumlah sebenar perusuh yang dikatakan seramai 30,000 hingga 50,000 serta kecederaan dan kematian perusuh disebabkan tindakan polis adalah tidak berasas.

“Saya mengingatkan kepada semua pihak, tindakan tegas akan dikenakan khususnya kepada mereka yang cuba untuk mensensasikan perkara ini. Apabila fakta sebenar dikemukakan kelak, mereka yang melemparkan segala tuduhan yang tidak berasas perlu bertanggungjawab dan akan dihadapkan ke muka pengadilan”, tegas beliau.
Disamping itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada PDRM yang telah menangani perhimpunan haram Sabtu lalu dengan begitu tertib walaupun dalam keadaan diprovokasi.
–team berita ikdn


















11 July 2011
KDN Sana Sini