web analytics

Program My Daftar Masyarakat India

29 July 2011

KDN Sana Sini

KUALA LUMPUR, 28 Julai 2011 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah berjaya melaksanakan Program My Daftar Masyarakat India yang telah berlangsung dari 19 hingga 26 Februari 2011. Program ini adalah kerjasama pintar di antara KDN, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India (SITF). Program yang berlangsung selama lapan hari ini telah berjaya mengumpulkan 9,539 permohonan daripada pelbagai kategori. Daripada keseluruhan permohonan yang diterima, 6,311 (66.25%) adalah permohonan lengkap dan boleh diproses, membabitkan 1,764 (28%) permohonan pengenalan diri dan 4,547 (72%) permohonan taraf kewarganegaraan.

Di bawah permohonan dokumen pengenalan diri, sejumlah 794 permohonan (45%) adalah permohonan daftar lewat kelahiran, permohonan kad pengenalan 723 (41%), pendaftaran perkahwinan 229 (13%), dan pindaan maklumat pada sijil lahir serta pendaftaran anak angkat, lapan permohonan (1%).

Majlis Penganugerahan Dokumen Pengenalan Diri hari ini telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein. Seratus orang penerima bertuah adalah 40 penerima sijil kewarganegaraan [(14 orang - Perkara 15 (1); enam orang - Perkara 15 (A); 10 orang - Perkara 16 dan 12 orang - Perkara 19 (1)]. Sementara itu 30 lagi adalah penerima lewat sijil lahir dan 30 penerima kad pengenalan diri.


Dalam ucapan perasmian, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Kerajaan serius terhadap usaha memastikan kepentingan dan hak asasi rakyat terpelihara. Program outreach ini amat relevan kerana ia merentas kaum, bangsa, agama dan semua lapisan masyarakat. Menurutnya, program seumpama ini adalah pendekatan berjiwa rakyat yang mendukung semangat 1Malaysia : Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.


Majlis penganugerahan ini turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Dr Subramaniam selaku Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India; Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Wira Abu Seman Yusof; Presiden MIC merangkap Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Senator Dato’ G. Palanivel, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam; dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datin Jariah Mohd. Said.

–team berita ikdn