web analytics

Tinjauan Menteri Dalam Negeri: Operasi Pendaftaran Pekerja Asing Sah di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya

28 July 2011

KDN Sana Sini

Seramai 390,404 pekerja asing sah daripada 26,894 majikan telah didaftarkan menerusi program pendaftaran yang bermula sejak 13 Julai lalu. Menurut Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri, beliau berpuas hati dengan operasi pendaftaran yang sedang giat dijalankan kerana purata tempoh masa yang diambil bagi mendaftar seorang pekerja asing hanya dua minit sahaja.

“Paling pantas masa yang diambil untuk mendaftarkan seorang pekerja asing sah ialah 1.02 saat dan secara puratanya cuma dua saat”, katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas melakukan tinjauan operasi pendaftaran pekerja asing sah di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di sini, semalam.
Di samping itu, beliau percaya angka pendaftaran pekerja asing sah akan terus meningkat dalam tempoh beberapa hari kerana urusan pendaftaran bukan sahaja boleh dibuat di kesemua 37 pejabat Imigresen seluruh negara, tetapi juga beroperasi tujuh hari dalam seminggu.

Tambah beliau, Kerajaan buat masa ini tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh pendaftaran dan menasihatkan majikan untuk segera mendaftarkan pekerja masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sehingga 31 Julai 2011.

Mengulas lanjut, Dato’ Seri Hishammuddin menyatakan, pelaksanaan pendaftaran pekerja asing sah adalah untuk menangani situasi kemungkinan pekerja asing sah lari meninggalkan majikan asal untuk menyertai Program Pemutihan. Maklumat yang lengkap beserta data biometrik yang diperoleh membolehkan Jabatan Imigresen Malaysia membuat semakan ketika proses pemutihan dan para pekerja yang masih mempunyai permit yang sah dan lari dari majikan tidak akan dibenarkan menyertai Program Pemutihan.

Turut hadir dalam tinjauan ini ialah Tan Sri Mahmood Adam, Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Alwi Haji Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan), Kementerian Dalam Negeri dan Dato’ Alias Ahmad, Ketua Pengarah, Jabatan Imigresen Malaysia.

–team berita ikdn