web analytics

KENYATAAN AKHBAR MENTERI DALAM NEGERI

11 August 2011

Kenyataan Media/Akhbar

Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri

Operasi Pendaftaran Pekerja Asing Sah dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Menerusi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan PATI (Program 6P)

Putrajaya, 11 Ogos 2011

Secara umumnya, saya amat berpuas hati dengan operasi pendaftaran pekerja asing sah dan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan PATI atau singkatannya Program 6P yang sedang berlangsung sekarang. Proses pendaftaran tersebut berlangsung lancar dan mencatat angka yang memberangsangkan.

Sehubungan itu, saya telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam melalui Jawatankuasa Pelaksana Program 6P untuk menilai sekiranya terdapat keperluan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran PATI yang bermula 1 Ogos lalu dan tamat pada 14 Ogos ini, lantaran sambutan yang amat menggalakkan daripada para PATI dan majikan. Manakala proses pendaftaran pekerja asing sah yang bermula 13 Julai lalu akan terus berlangsung sehingga tempoh tamatnya diberitahu kelak.

Sehingga semalam (Rabu, 10 Ogos), saya dimaklumkan bahawa sejumlah 850,233 pekerja asing sah di negara ini telah didaftarkan. Sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini, selain mendaftarkan biometrik pekerja asing, pendaftaran pekerja asing ini dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan Program 6P adalah untuk menangani situasi kemungkinan pekerja sah lari meninggalkan majikan asal untuk menyertai Program Pemutihan. Maklumat yang lengkap beserta data biometrik akan membolehkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat semakan ketika proses pemutihan dan para pekerja yang masih mempunyai permit yang sah dan lari dari majikan tidak akan dibenarkan menyertai Program Pemutihan.

Sementara itu, untuk pendaftaran PATI, sehingga jam 1 tengahari hari ini, sejumlah 877,884 PATI di negara ini telah didaftarkan. Jumlah ini merangkumi 716,336 PATI di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, serta 161,548 PATI di Sabah. Mengikut statistik (tidak termasuk Sabah), PATI warganegara Indonesia mencatatkan angka pendaftaran tertinggi dengan 347,394 orang, diikuti Bangladesh 197,908 orang, Myanmar (70,513 orang), India (25,711 orang), Nepal (16,215 orang), Filipina (13,006 orang), Cambodia (12,352 orang), Pakistan (10,918 orang), Vietnam (6,706 orang), Thailand ((2,944 orang), Sri Lanka (2,246 orang), China (1,082 orang) dan lain-lain warganegara (9,341 orang).

Ini bermakna, jumlah keseluruhan pekerja asing sah dan PATI yang telah berdaftar sehingga kini adalah seramai 1,728,117 orang.

Pada masa yang sama, saya juga berasa bangga atas komitmen tinggi yang ditunjukkan setiap kakitangan dan pegawai Imigresen apabila sanggup bekerja sehingga lewat malam, bagi menjayakan program pendaftaran ini. Saya bangga kerana selain urusan yang dilakukan di pejabat, program outreach atau usaha untuk turun ke lapangan juga giat dijalankan.

Untuk makluman, Program 6P merupakan sebahagian daripada pelan komprehensif yang dicadangkan oleh Makmal Pengurusan Warga Asing (MPWA) yang telah dipersetujui oleh Kerajaan. Strategi dan pendekatan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu memantapkan pengurusan warga asing di Malaysia dan sekali gus menangani permasalahan global berhubung isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Sehubungan itu, tanggapan bahawa Program 6P akan menyebabkan berlakunya lambakan pekerja asing di Malaysia merupakan persepsi yang tidak tepat. Rasional pelaksanaan Program 6P adalah untuk mendapatkan data yang tepat berhubung jumlah PATI yang berada di dalam negara. Data ini kemudiannya akan diintegrasikan dengan keperluan semasa pekerja asing di dalam negara. Kerajaan akan memberi keutamaan untuk PATI diputihkan bagi mengisi keperluan pekerja asing tanpa perlu membawa masuk pekerja asing yang baru.

Namun begitu, ini tidak bermakna kesemua PATI yang didaftarkan melalui Program 6P akan diputihkan. Pertimbangan jumlah yang diputihkan adalah berdasarkan keperluan sebenar mengikut sektor dan sub-sektor. Berhubung jumlah keperluan sebenar setiap sektor dan sub-sektor berkenaan, KDN sedang menunggu maklum balas dan statistik daripada agensi dan kementerian berkaitan, yang dijangkakan bakal diperoleh pada minggu hadapan.

=tamat=

, , ,