Kenyataan Akhbar
Mesyuarat Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Bilangan 7/2011
Mesyuarat Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran telah diadakan pada 28 Julai 2011 dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Y.Bhg. Tan Sri Mahmood bin Adam. Ahli-ahli mesyuarat telah bersetuju dengan perkara-perkara berikut:
1. Sebuah taskforce akan ditubuhkan di setiap negeri bagi menyelaraskan kes-kes berkaitan pemerdagangan orang dan juga penyeludupan migran. Taskforce ini yang dikenali sebagai “Mini MAPO” diharap dapat membantu usaha membendung kedua-dua jenayah ini. “Mini MAPO” ini akan diketuai oleh Ketua Polis Negeri dan ahli-ahli terdiri daripada:
i. Agensi-agensi penguatkuasaan (PDRM, JIM, KDRM, APMM dan JTK);
ii. Jabatan Pembangunan Wanita (JPW);
iii. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM);
iv. Pengarah Mahkamah;
v. Ketua Unit Pendakwaan Negeri;
vi. 3 wakil NGO; dan
vii. Penguasa Rumah Perlindungan
2. Statistik Penguatkuasaan menunjukkan sebanyak 343 kes pemerdagangan orang telah diperolehi melibatkan 490 tangkapan. Seramai 2,022 mangsa telah diberikan perintah perlindungan interim dan 750 daripada mangsa tersebut diberikan perintah perlindungan.
3. Sebanyak 12 kes penyeludupan migran telah dikendalikan oleh agensi penguatkuasaan dan melibatkan 20 tangkapan. Seramai 267 migran telah ditahan.
4. Statistik pendakwaan pula menunjukkan sebanyak 347 kes telah dituduh.
45 kes telah selesai dan terdapat 34 sabitan. Pecahan kes mengikut seksyen adalah seperti berikut:
Seksyen 12
(Kesalahan pemerdagangan orang)
227
Seksyen 13
(Kesalahan pemerdagangan orang dengan cara ancaman)
103
Seksyen 14
(Kesalahan pemerdagangan kanak-kanak)
27
Seksyen 15
(Kesalahan mendapatkan keuntungan daripada eksploitasi)
3
Seksyen 23(2)
(Obligasi sebagai pemunya, operator atau nakhoda pengangkut)
5
Seksyen 26A
(Kesalahan penyeludupan migran)
4
Seksyen 26H
(Menyembunyikan atau melindungi migran yang diseludup dan penyeludup migran)
2
5. Sebanyak 16 kes melibatkan buruh paksa telah direkodkan di mana seramai 18 majikan termasuk orang perseorangan dan syarikat telah dituduh di mahkamah.
6. Bagi memantapkan pengurusan kes, Jabatan Peguam Negara akan melatih dua orang Timbalan Pendakwaraya di setiap negeri sebagai pakar rujuk untuk mengendalikan kes-kes pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.
7. Kes terbaru berkaitan penyeludupan migran adalah melibatkan dua orang OKT yang telah menyeludup masuk 13 wanita warga Filipina dan OKT telah dituduh mengikut seksyen 26H(1)(a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dijatuhkan hukuman 7 tahun penjara dan denda RM3000 kerana menyeludup masuk.
8. Pada ketika ini, terdapat seramai 92 mangsa wanita, 75 mangsa lelaki dan 6 orang kanak-kanak yang diberikan perlindungan dan ditempatkan di rumah perlindungan Kerajaan.
9. KPWKM telah mengadakan kerjasama dengan Rotary Club of Bandar Sunway bagi mengadakan program kesihatan di Rumah Perlindungan 1 pada 31 Julai 2011. Aktiviti yang akan diadakan adalah seperti berikut:
• Saringan kesihatan untuk mangsa, sukarelawan dan pengawal;
• Ceramah kesihatan;
• Saringan penyakit Hepatitis untuk pengawal; dan
• Kursus asas berkenaan sokongan kehidupan.
10. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah mengadakan Program Minda Setia 1Malaysia untuk memberikan penerangan kepada pegawai-pegawai penerangan mengikut zon berhubung Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. Seramai 850 peserta telah menghadiri program tersebut di peringkat zon iaitu zon Sabah, zon Sarawak, zon utama ( Sg. Petani, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis), zon tengah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor), zon selatan (Melaka, Negeri Sembilan dan Johor) dan zon timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang). Atas maklumbalas yang memberangsangkan, program ini dipanjangkan pelaksanaanya hingga ke peringkat negeri bagi menjelaskan isu berkaitan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.


















1 August 2011
Kenyataan Media/Akhbar