Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Pembebasan Pegawai-Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960 Kerana Disyaki Terlibat Dalam Kegiatan Sindiket Penyeludupan Manusia
Putrajaya, 01 Ogos 2011
Saya telah memutuskan untuk membebaskan lapan orang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960 antara 10 hingga 12 Oktober tahun lalu, kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan manusia di negara ini.
Pembebasan lapan orang pegawai JIM ini akan dilakukan secara berperingkat-peringkat. Buat permulaan, tiga orang pegawai akan dibebaskan esok (02 Ogos 2011). Manakala selebihnya akan dibebaskan dalam masa terdekat.
Pembebasan ini dibuat setelah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati bahawa semua tahanan ini telah menunjukkan kesedaran dan keinsafan atas kesilapan yang telah mereka lakukan dan berjanji untuk tidak mengulanginya pada masa depan serta telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam usaha untuk memerangi kegiatan penyeludupan manusia di negara ini.
Penahanan mereka sebelum ini di bawah AKDN 1960 dibuat selaras dengan pendirian Kerajaan untuk mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini sekaligus bagi membolehkan siasatan lanjut dan menyeluruh dibuat khususnya terhadap kegiatan sindiket penyeludupan warga asing dan urusan keluar dan masuk dari negara ini.
Tindakan ini juga dilakukan selaras dengan hasrat kerajaan untuk membuktikan kepada masyarakat di negara ini serta masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia amat komited dalam memerangi aktiviti penyeludupan manusia. Dalam hubungan ini, pihak berkuasa di Malaysia akan mengambil tindakan tegas untuk menghalang sebarang usaha untuk menjadikan negara ini sebagai ‘transit point’ bagi kegiatan ini.
Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan pegawai serta kakitangan yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan di pintu masuk negara, agar melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah. Jangan sesekali bertindak mengkhianati negara ini semata-mata ingin mengejar kemewahan hidup. Tidak tolak-ansur ke atas mereka yang mengkhianati amanah negara.
=tamat=


















1 August 2011
Kenyataan Media/Akhbar