TAN SRI MAHMOOD ADAM
Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri
KEMENTERIAN DALAM NEGERI MINTA PKR BUKTIKAN PROGRAM 6P JUAL KEDAULATAN NEGARA
Kuala Lumpur, 19 Ogos 2011
_________________________________________________________________________
1. Merujuk berita yang disiarkan akhbar Sinar Harian semalam (Khamis, 18 Ogos 2011) bertajuk “PKR DAKWA PROGRAM 6P SELUDUP PENDATANG”, Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin supaya tampil mengemukakan bukti-bukti jelas kepada KDN atau sebaliknya membuat laporan polis berhubung segala dakwaan yang dinyatakan beliau menerusi laporan tersebut.
2. Antara lain, Zuraida dipetik berkata bahawa hasil siasatan PKR mendapati Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau singkatannya Program 6P mensyaratkan PATI supaya membaca ‘skrip bersumpah’ menyatakan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional sebagai sebahagian proses pemutihan.
3. Beliau turut dipetik berkata bahawa pada skrip berkenaan, tertulis dengan jelas teks “Saya/suami/isteri/anak-anak, tanpa berbelah bagi akan menyokong dan mengundi UMNO/BN” yang didakwa beliau sebagai diperolehi daripada ahli PKR yang menyelinap masuk ke lokasi tertentu. Justeru, Zuraida menyelar Program 6P sebagai muslihat jelas Kerajaan untuk menyeludup pengundi dan sekali gus melabelkannya sebagai cubaan untuk menjual kedaulatan Negara.
4. Susulan laporan tersebut, KDN menyifatkan dakwaan Zuraida sebagai satu tuduhan berat kepada kepentingan Negara, kerana Program 6P adalah inisiatif nasional yang tidak bermotifkan politik, sebaliknya bertujuan mendapatkan data biometrik setiap PATI untuk rasional keselamatan, khususnya dalam menangani masalah membabitkan kes-kes pemalsuan identiti dan dokumen perjalanan antarabangsa.
5. Selain itu, dengan menggunakan data biometrik yang diambil daripada proses pendaftaran Program 6P ini juga, keupayaan serta keberkesanan proses penguatkuasaan dalam menangani keberadaan PATI di dalam negara juga dapat ditingkatkan secara lebih berkesan dan ini terbukti dengan kejayaan kita menangani beberapa jenayah rentas sempadan khususnya pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia sejak sistem biometrik dikuatkuasakan di semua pintu masuk negara.
6. Justeru, KDN tidak akan berkompromi kerana Program 6P bukan agenda politik tetapi ia sebaliknya adalah inisiatif penting yang menjurus kepada aspek kepentingan rakyat khususnya keselamatan Negara.
Tamat/.


















18 August 2011
Kenyataan Media/Akhbar