web analytics

Kenyataan Media Dato’ Alwi Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan)

5 August 2011

Kenyataan Media/Akhbar

KENYATAAN MEDIA
Dato’ Alwi Ibrahim
Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan)
Dasar dan Imigresen
Kementerian Dalam Negeri

MAKLUMAN PENDAFTARAN PROGRAM 6P
5 OGOS 2011 (JUMAAT) – (SIRI 1)

1. Sehingga jam 12 tengah hari ini, (5 Ogos 2011) sejumlah 245,376 pekerja/pendatang asing tanpa izin (PATI) telah didaftarkan menerusi 197 pejabat Imigresen dan 1,934 kaunter pendaftaran yang dikendalikan 336 syarikat pengurus seluruh Semenanjung Malaysia sejak hari pertama pendaftaran Program 6P bermula 1 Ogos lalu.

2. Berdasarkan pecahan mengikut negeri, Selangor mencatatkan rekod pendaftaran PATI paling tinggi dengan jumlah 79,855; diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 54,041; Johor, 31,060; Pulau Pinang, 18,278; Perak, 13,358; Pahang, 12,218; Wilayah Persekutuan Putrajaya, 11,641; Negeri Sembilan, 9,146; Kedah, 7,738; Melaka, 3,981; Kelantan, 1,690; Terengganu, 1,557; Perlis, 648; dan terendah, Wilayah Persekutuan Labuan, 255.

3. Berhubung aduan beberapa syarikat pengurus yang mendakwa gagal beroperasi akibat masalah teknikal, ia antara lainnya dikenal pasti oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai berpunca daripada komputer milik syarikat pengurus yang menggunakan sistem operasi tidak compatible berbanding keperluan perisian yang digunakan bagi pendaftaran program ini.

4. Sehubungan itu, bagi syarikat yang berhadapan masalah tersebut, mereka diminta supaya menyelaraskan sistem operasi komputer masing-masing.

5. Sementara itu, KDN juga bermula semalam telah mengarahkan lebih 100 kakitangan teknologi maklumat di kementerian ini turun ke lapangan untuk memantau operasi syarikat pengurus, membantu menangani masalah teknikal jika masih ada, contohnya masalah berkaitan installation atau masalah memuat naik data. Selain itu, semua pihak berkaitan juga boleh menghubungi Bilik Gerakan KDN di talian 03-8886-8110/8112 untuk sebarang aduan masalah.

6. Sementara itu, satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN, Yg.Bhg Tan Sri Mahmood Adam telah diadakan pagi ini, dari jam 9.00 hingga 10.30 pagi, bertempat di kementerian ini. Mesyuarat tersebut bertujuan berkongsi status operasi Program 6P kepada Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan pelbagai Agensi dan Kementerian yang berkaitan dengan keperluan pekerja asing.

Tamat/.

, ,