KENYATAAN MEDIA
Dato’ Alwi Ibrahim
Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan)
Pendaftaran dan Imigresen
Kementerian Dalam Negeri
MAKLUMAN PENDAFTARAN PROGRAM 6P
8 OGOS 2011 (ISNIN)
1. Sehingga semalam, (7 Ogos 2011) sejumlah 530,625 pekerja/pendatang asing tanpa izin (PATI) telah didaftarkan menerusi 206 pejabat Imigresen seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan 1,934 kaunter pendaftaran yang dikendalikan 336 syarikat pengurus.
2. Berdasarkan pecahan mengikut negeri, Sabah mencatatkan rekod pendaftaran PATI paling tinggi dengan jumlah 152,588; diikuti Selangor, 126,094; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 103,075; Johor, 33,451; Pulau Pinang, 27,046; Perak, 19,999; Pahang, 18,390; Wilayah Persekutuan Putrajaya, 13,400; Negeri Sembilan, 13,065; Kedah, 12,703; Melaka, 5,842; Kelantan, 2,150; Terengganu, 1,761; Perlis, 962; dan terendah, Wilayah Persekutuan Labuan, 99.
3. Berhubung masalah yang dihadapi segelintir syarikat pengurus pada minggu lalu, jumlah aduan telah jauh berkurangan dan ini adalah hasil inisiatif KDN menghantar kakitangan teknologi maklumatnya (IT) ke lapangan untuk memantau operasi selain membantu menangani masalah teknikal jika ia masih lagi berlaku. Selain itu, Kementerian telah mengambil inisiatif menyediakan Bengkel Penggunaan dan Pengemaskinian bagi sokongan Sistem Pendaftaran 6P selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Ogos 2011 untuk menyelesaikan masalah teknikal yang dihadapi oleh syarikat pengurus.
4. Pada masa yang sama, Kerajaan juga memberi amaran keras kepada semua syarikat pengurus supaya tidak mengeluarkan sebarang maklumat mengelirukan, baik kepada PATI, majikan, mahupun orang ramai. Ini khususnya membabitkan aspek bayaran kerana ada syarikat yang dilapor mengenakan bayaran pakej lebih RM35 dengan memaklumkan bahawa mereka bertindak di atas arahan KDN.
5. Sehubungan itu, syarikat diminta menghentikan tindakan tersebut kerana KDN tidak pernah mengubah keputusan bayaran perkhidmatan kepada syarikat pengurus seperti yang telah ditetapkan Kerajaan iaitu RM35 untuk pendaftaran dan RM300 untuk pemutihan. Bagaimanapun, jumlah RM300 ini hanya perlu dibayar jika PATI terpilih untuk diputihkan. Bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan, pegawai Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat pemantauan agar syarikat-syarikat ini mematuhi peraturan dan undang-undang.
6. Perkhidmatan sama yang diberikan syarikat pengurus turut diberikan secara percuma oleh Kerajaan menerusi pejabat Imigresen seluruh negara. Justeru, tidak timbul isu KDN mengeluarkan arahan bayaran tambahan selain daripada yang telah ditetapkan.
7. Jika ada aduan terhadap kes-kes begini, orang ramai diminta menghubungi Bilik Gerakan KDN di talian 03-8886-8110 / 8112 beserta maklumat terperinci untuk tindakan lanjut di pihak KDN. Amaran akan dikeluarkan dan pemantauan akan dibuat terhadap operasi syarikat berkenaan. Jika didapati berulang hak kebenaran untuk mereka beroperasi menerusi program ini akan dibatalkan.
8. Kementerian sekali lagi menyeru supaya majikan dan PATI segera membuat pendaftaran di pejabat Imigresen dan syarikat pengurus yang telah dilantik dalam tempoh yang ditetapkan.
Tamat/.


















8 August 2011
Kenyataan Media/Akhbar