TAN SRI MAHMOOD ADAM
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
KEMENTERIAN DALAM NEGERI LANJUTKAN TEMPOH PENDAFTARAN PROGRAM 6P
12 OGOS 2011
1. Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memutuskan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran Program 6P yang sepatutnya berakhir 14 Ogos 2011 kepada 21 Ogos 2011.
2. Keputusan ini dibuat sebagai susulan kepada saranan YB Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam yang mengusulkan supaya cadangan lanjutan tarikh itu dipertimbangkan Jawatankuasa Pelaksana Program 6P.
3. Ini berikutan sambutan berterusan yang diterima daripada majikan serta pekerja dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kaunter-kaunter pendaftaran Program 6P yang dibuka sejak 1 Ogos 2011, baik di pejabat Imigresen mahupun menerusi syarikat pengurus yang dilantik Kerajaan.
4. Sementara itu, Kerajaan juga memutuskan bahawa setiap PATI yang mendaftar menerusi syarikat pengurus perlu merujuk dan menggunakan khidmat syarikat yang sama apabila memohon untuk proses pemutihan yang akan menyusul pada pertengahan September ini.
5. Dalam perkembangan lain, sehingga tamat operasi semalam (Khamis, 11 Ogos 2011), bilangan PATI dan pekerja asing sah telah merekodkan sejumlah 1,807,000 orang.
6. Daripada jumlah tersebut, 885,156 adalah angka yang dicatatkan untuk Pendaftaran Pekerja Asing Sah.
7. Selari lanjutan tarikh pendaftaran ini, pihak berkuasa negeri, agensi Kerajaan dan semua pemimpin jawatankuasa sedia ada di peringkat daerah, kampung serta mukim diminta mencari mekanisma lebih baik bagi menyampaikan maklumat mengenai program ini dan sekali gus juga menyakinkan PATI di sekitar kawasan masing-masing untuk keluar mendaftar.
8. Paling utama ialah meyakinkan mereka mengenai jaminan Kerajaan bahawa tiada tangkapan akan dibuat terhadap PATI dan justeru, ia perlu dilihat sebagai peluang terakhir berbuat demikian sebelum operasi penguatkuasaan besar-besaran dimulakan sekitar November 2011.
Tamat/.


















12 August 2011
Kenyataan Media/Akhbar