YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussei
Menteri Dalam Negeri
Pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen
Satu Langkah Berani dan Berintegriti Demi Kepentingan Rakyat
Putrajaya, 16 Ogos 2011
Pengumuman Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak mengenai penubuhan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya adalah satu langkah yang berani, penuh integriti dan menunjukkan kesungguhan dalam pentadbiran Kerajaan ketika ini.
Ini adalah kesediaan pihak Kerajaan untuk membuka ruang penglibatan wakil-wakil rakyat termasuk dari parti pemerintah dan pembangkang yang akan menganggotai jawatankuasa tersebut dan mendapat input dalaman tentang keadaan terkini sistem pilihanraya serta berpeluang untuk mengupas dan memberi pandangan.
Asas kepada keputusan ini menunjukkan komitmen penuh bahawa Kerajaan mahu mempertahankan pemerintahan adil serta penuh wibawa demi kepentingan masa depan anak bangsa dan negara ini keseluruhannya.
Pembentukan jawatankuasa ini memberi gambaran yang amat jelas tentang kesungguhan Perdana Menteri untuk meneruskan pemerintahan dengan bersandarkan kepada mandat sebenar rakyat, pendekatan yang telus dan peka kepada perubahan serta tuntutan semasa. Kita sedia mengkaji dan membincangkannya; dan jika perlu kita akan menambahbaik sistem sedia ada. Malah Kerajaan tidak mempunyai apa-apa untuk diselindungi dalam hal ini.
Saya juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai soal tapisan bahan-bahan penerbitan yang perlu dikaji semula. Pendirian ini diumumkan tepat pada waktunya kerana pada masa ini kita berhadapan dengan pelbagai persepsi negatif akibat daripada amalan-amalan tradisi yang kita laksanakan selama ini.
TAMAT…/


















16 August 2011
Kenyataan Media/Akhbar