web analytics

Kenyataan Media Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) : OPERASI PENDAFTARAN PROGRAM 6P BERMULA

1 August 2011

Kenyataan Media/Akhbar

KENYATAAN MEDIA
Dato’ Alwi Ibrahim
Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan)
Dasar dan Imigresen
Kementerian Dalam Negeri

OPERASI PENDAFTARAN PROGRAM 6P BERMULA

1 OGOS 2011 (ISNIN)

1. Semua 198 pejabat Imigresen seluruh Semenanjung Malaysia akan beroperasi 24 jam bermula hari ini bagi menguruskan pendaftaran pekerja dan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Program 6P yang bermula hari ini sehingga 14 Ogos depan.

2. Pendaftaran PATI menerusi Program 6P atau Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin ini akan berlangsung serentak dengan operasi mendaftarkan pekerja asing sah yang sepatutnya berakhir semalam tetapi diteruskan oleh Kerajaan tarikh akhirnya ke satu tempoh yang akan diumumkan kelak.

3. Bagi memberi tumpuan kepada proses pendaftaran PATI, pejabat Imigresen memperuntukkan 90 peratus operasi kaunternya untuk tujuan pendaftaran Program 6P, manakala baki 10 peratus lagi digunakan bagi menguruskan pendaftaran pekerja asing sah yang dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen bermula sejak 13 Julai lalu.

4. Selain itu, sebagai persediaan untuk mengelakkan kesesakan di pejabat Imigresen Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, operasi kaunter tambahan turut disediakan di Dewan Bandaran Shah Alam dan Stadium Bola Sepak Cheras.

5. Selain pejabat Imigresen, majikan serta PATI juga boleh memilih untuk membuat pendaftaran menerusi 336 syarikat pengurus yang dilantik oleh Kerajaan bagi membantu proses pendaftaran Program 6P. Sehingga tengah hari ini, sejumlah 1,639 lokasi pendaftaran yang dikendalikan syarikat-syarikat ini telah dibuka di seluruh Semenanjung Malaysia – dengan dipantau oleh 389 pegawai Imigresen.

6. Bagaimanapun sehingga tengah hari ini, masih ada 111 lagi lokasi yang akan dibuka berdasarkan kepada cadangan syarikat pengurus. Sehubungan itu, setiap syarikat terbabit digesa supaya segera mengesahkan keputusan itu bagi membolehkan Jabatan Imigresen Malaysia menentukan petugas untuk urusan pemantauan serta urusan kunci masuk sistem perisian pendaftaran berkomputer yang digunakan bagi program ini.

7. Maklum balas serta interaksi dua hala antara Jabatan Imigresen dan syarikat pengurus ini penting bagi mengelakkan masalah yang dilaporkan berlaku di beberapa lokasi hari ini, antaranya termasuklah pegawai Imigresen yang dilaporkan lewat tiba ke lokasi kaunter syarikat pengurus berikutan perubahan logistik pada saat akhir dan masalah sistem komputer yang tidak compatible dengan keperluan sokongan perisian yang digunakan bagi program ini.

8. Bagaimanapun, KDN sedang memantau semua aduan beserta masalah yang berlaku dan akan mengambil langkah proaktif bagi menangani serta mengatasi permasalahan yang timbul.

9. Pada masa yang sama, sehingga semalam (31 Julai 2011), Program Pendaftaran Pekerja Asing Sah yang bermula 13 Julai lalu telah merekodkan statistik terkumpul berjumlah 767,068 orang.

10. Sementara itu pula, SABAH yang sudah terlebih dahulu memulakan Program Pendaftaran PATI sejak 18 Julai lalu, sehingga semalam (31 Julai) telah merekodkan sejumlah 116,000 pendaftaran. Program ini akan berterusan sehingga 8 Ogos depan dan operasi kaunter sehingga hari ini masih kekal sehingga jam 5 petang.

11. Berbeza dengan SARAWAK, negeri ini sebaliknya memilih hari ini (1 Ogos 2011) untuk memulakan Program Pendaftaran Pekerja Asing Sah menerusi 28 lokasi yang dibuka di 11 Bahagian negeri. Untuk semakan lokasi, layari www.moha.gov.my.

Tamat/.

, , , ,