web analytics

Kenyataan Media Timbalan Ketua Setiausaha (N) Kementerian Dalam Negeri

15 August 2011

Kenyataan Media/Akhbar


DATO’ ALWI IBRAHIM
TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA
PENDAFTARAN DAN IMIGRESEN
KEMENTERIAN DALAM NEGERI

HAMPIR DUA JUTA PEKERJA ASING SAH DAN PATI TELAH DIDAFTARKAN

15 OGOS 2011

1. Sehingga jam 8.30 pagi ini (Isnin, 15 Ogos 2011), hampir dua juta atau 1,928,495 pekerja asing sah dan pendatang asing tanpa izin (PATI) telah didaftarkan menerusi pejabat Imigresen dan syarikat pengurus seluruh Negara.

2. Daripada jumlah tersebut, 1,031,275 adalah PATI yang didaftarkan menerusi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P.

3. Berdasarkan pecahan, jumlah PATI yang direkodkan di Sabah sehingga tamat pendaftarannya pada 10 Ogos 2011 ialah 161,548 orang, manakala di Semenanjung Malaysia, sejumlah 869,727 PATI telah didaftarkan sehingga pagi ini. Daripada jumlah tersebut, 673,127 didaftarkan menerusi syarikat pengurus, manakala baki 196,600 lagi adalah menerusi pejabat Imigresen.

4. Dalam perkembangan lain, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada satu syarikat pengurus di Johor yang dikenal pasti melanggar aku janji yang ditandatangani dengan Kerajaan membabitkan pengurusan Program 6P.

5. Hasil pemantauan Jabatan Imigresen Johor, syarikat tersebut dikenal pasti telah menyalahgunakan Program 6P ini dengan menawarkan kad pengampunan bernilai RM3,000 kepada setiap PATI yang berdaftar dengan mereka.

6. Menggunakan kad tersebut, PATI dijanjikan bahawa mereka akan terselamat daripada tangkapan, sedangkan Kerajaan sendiri telah memberi jaminan bahawa semua PATI yang berdaftar dengan program ini tidak akan ditangkap sehingalah operasi penguatkuasaan besar-besaran dijalankan sebaik tamat pendaftaran, pengampunan, pemutihan dan pemantauan yang dijangkakan pada pertengahan November kelak.

7. Susulan daripada itu, syarikat pengurus yang berkenaan diminta memberi jawapan balas dalam tempoh tiga hari sebelum Kerajaan memutuskan tindakan yang akan diambil termasuklah menimbangkan kemungkinan membatalkan sijil perakuan kebenaran operasi yang dikeluarkan KDN bagi program ini.

8. Sementara itu, susulan maklum balas positif hasil lawatan pihak kedutaan Bangladesh ke kaunter-kaunter pendaftaran Program 6P di ibu pejabat Imigresen Putrajaya, Sabtu lalu, usaha yang sama akan diatur dalam waktu terdekat membabitkan beberapa kedutaan lain, khususnya Indonesia.

9. Antara lain, lawatan tersebut bertujuan membawa setiap wakil kedutaan berkenaan meninjau ke kaunter-kaunter Imigresen, diberi taklimat proses pendaftaran dan seterusnya mengadakan perbincangan lanjut antara dua pihak membabitkan isu-isu berkaitan pekerja warganegara masing-masing.

TAMAT/.

, ,