TAN SRI MAHMOOD ADAM
Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri
KDN PERTIMBANG TINDAKAN TERHADAP KETUA WANITA PKR
22 OGOS 2011
1. Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menimbang tindakan yang akan diambil terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin berikutan masih tiada laporan polis dibuat bagi mengemukakan bukti berkaitan dakwaannya wujud “skrip bersumpah” yang perlu dibaca pendatang asing tanpa izin ketika berdaftar dengan Program 6P.
2. Susulan daripada itu, tiga langkah sedang dalam pertimbangan KDN iaitu sama ada membuat laporan polis terhadap Zuraida, melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) atau mengemukakan saman terhadap beliau.
3. KDN mungkin memilih satu antaranya tetapi tidak menolak untuk melakukan ketiga-tiganya sekali gus, dengan mengambil kira tuduhan berat yang dilemparkan Ketua Wanita tersebut bahawa inisiatif kerajaan menerusi Program 6P ini sebagai cubaan untuk menjual kedaulatan Negara.
4. Pada minggu lalu, Zuraida dipetik berkata bahawa hasil siasatan PKR mendapati Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau singkatannya Program 6P mensyaratkan PATI supaya membaca ‘skrip bersumpah’ menyatakan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional sebagai sebahagian proses pemutihan.
5. Pada skrip itu katanya, tertulis teks “Saya/suami/isteri/anak-anak, tanpa berbelah bagi akan menyokong dan mengundi UMNO/BN” yang didakwa beliau sebagai diperolehi daripada ahli PKR yang menyelinap masuk ke lokasi tertentu. Justeru, Zuraida menyelar Program 6P sebagai muslihat jelas Kerajaan untuk menyeludup pengundi dan sekali gus melabelkannya sebagai cubaan untuk menjual kedaulatan Negara.
6. Dakwaan tersebut adalah tuduhan berat kepada kepentingan Negara, kerana Program 6P adalah inisiatif nasional yang tidak bermotifkan politik, sebaliknya bertujuan mendapatkan data biometrik setiap PATI untuk rasional keselamatan, khususnya dalam menangani masalah membabitkan kes-kes pemalsuan identiti dan dokumen perjalanan antarabangsa.
Tamat/.


















22 August 2011
Kenyataan Media/Akhbar